Lelaki rentung, 2 anggota polis parah kereta terbabas masuk parit

Lelaki rentung, 2 anggota polis parah kereta terbabas masuk parit

Seorang lelaki rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar sebuah kereta peronda, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 4 pagi, dua anggota polis turut parah selepas kereta peronda dinaiki mereka terbabas ke dalam parit yang sama. Kedua-dua anggota polis kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan berlaku apabila kereta dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Lelaki rentung, 2 anggota polis parah kereta terbabas masuk parit

Beliau berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.

“Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta jenis Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa yang sama, polis turut membunyikan siren amaran agar suspek memberhentikan kenderaan, sebaliknya dia enggan dan terus memecut.

“Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit yang sama.

“Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkan dia rentung. Dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Baca Juga:
Pasangan ‘Childfree’ kongsi sebab kenapa tidak mahu ada anak
Aksi lelaki ini kunyah kulit durian siap cicah sambal belacan buat netizen rasa ngilu
Wanita terjah suami berduaan dalam kereta dengan wanita Indon, terkedu dengar suami cakap “dah la, aku tak nak kau dah”
CATEGORIES