
Lelaki ragut rantai emas dibelasah di hentian teksi
Lelaki ragut rantai emas dibelasah di hentian teksi. Seorang lelaki ditahan orang awam selepas meragut rantai emas milik seorang wanita di Jalan Maxwell dekat hentian teksi Pekan Rawang, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 10.32 pagi.
Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa seorang wanita tempatan berusia 50-an sedang berjalan kaki dari kedai makan menuju ke tempat letak kenderaan.
“Secara tiba-tiba sebuah motosikal Yamaha 125ZR yang ditunggangi seorang lelaki bertopi keledar datang dari arah belakang lalu meragut rantai emas di leher mangsa.
“Mangsa kemudian menjerit dan suami mangsa yang berada di hadapan telah menghalang suspek daripada melarikan diri.
“Suspek kemudian terjatuh dari motosikal dan berjaya ditahan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Sementara mangsa mengalami kecederaan ringan di leher dan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.
Lelaki ragut rantai emas di hentian teksi ditahan orang awam. https://t.co/a8B6ekArrE pic.twitter.com/akyBn1uTXZ
— Utusan TV (@UtusanTV) May 15, 2023
“Semakan mendapati suspek berusia 27 tahun itu mempunyai 13 rekod jenayah ragut dan samun serta baru dibebaskan dari tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada Mac lalu,” ujarnya.
Zainal Mohamed berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.