Lelaki pakai rantai lancar sambung bacaan surah Maryam buat ramai ‘meremang’.
Jika anda sering menggunakan media sosial, pasti anda perasan banyak jenis konten eksperimen sosial yang dilakukan oleh orang ramai untuk menguji pengetahuan umum.
Antara konten yang sering dibualkan adalah ‘tebuk’ (uji bacaan) al-Quran yang dilakukan oleh seorang influencer dikenali sebagai Qawiy. Dalam videonya, ramai individu diuji untuk menyambung petikan kitab suci.
Walaupun kedatangan Qawiy tidak diduga, ramai juga yang berjaya menyambung dengan lancar walaupun dalam keadaan gementar.
Lelaki Lancar Sambung Bacaan Surah Maryam
Baru-baru ini, tular satu hantaran di akaun TikTok Qawiy yang menyaksikan dia melakukan eksperimen sosial melibatkan pengunjung di Kuala Fashion Week (KLFW) 2024 di Suria KLCC pada Ahad lalu (4 Ogos).
Dalam video tersebut, seorang lelaki dikenali sebagai Boy dengan yakin berkata dia sudah hafal kesemua 30 juzuk al-Quran. Menurut Qawiy, Boy sendiri yang datang kepadanya dan meminta untuk ‘ditebuk’.
@qawiyaro Tebuk Quran yang tak disangka sangka kat KL Fashion Week ☝🏽😍 #quranchallenge #mantuy ♬ original sound – qawiyaro
Pada mulanya, Boy menguji Qawiy dahulu untuk melihat sama ada dia dapat menyambung petikan al-Quran yang dibaca. Seperti yang dijangka, Qawiy dapat melafazkan petikan al-Quran dengan lancarnya.
Sejurus itu, Qawiy berkata lelaki berumur 18 tahun itu mempunyai alunan suara yang sedap didengari semasa membaca petikan surah.
Apabila tiba giliran Boy, dia berjaya membaca Surah Maryam ayat 1-6 dengan lunak dan merdu. Sekali dengar, suara Boy macam imam di masjid. Boy menjelaskan bahawa dia telah bergelar seorang Hafiz sejak umur 15 tahun lagi.
Pengguna X Minta Orang Ramai Tidak Nilai Seseorang Berdasarkan Rupa
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna X (Twitter). Seorang lelaki dikenali sebagai Helmi Haqiem berkata hantaran itu boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai untuk tidak menilai seseorang berdasarkan penampilannya.
“Tamparan untuk aku jangan judge dari pemakaian orang lain. Juga, aku speechless,” kata Helmi.
Dalam video tersebut, Boy memperagakan pakaian ‘style hip-hop’ bersama seutas rantai perak.
Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Lihat Boy Sambung Ayat Al-Quran
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap hantaran tersebut. Segelintir individu memuji nada Boy dalam membaca petikan ayat al-Quran.
“Meremang dengar dia baca sebab susah nak cari orang baca al-Quran dengan nada sedih macam ini (sayu). Pahala besar kalau baca Quran dengan nada macam ini, bukan sekadar bersahaja,” kata seorang wanita.
Namun, ramai juga pengguna media sosial mengecam tindakan Boy kerana memakai rantai.
“Adakah hafal al-Quran 30 juzuk membenarkan kita berpakaian begini? Berantai bagai. Kalau memang hafiz, tolong jaga al-Quran tu baik-baik. Bukan hanya hafalan, tapi juga perilaku, penampilan, dan akhlak supaya al-Quran yang ada di dada bukan sekadar modal konten,” jelas seorang lelaki.
Sementara itu, ada juga individu yang mengingatkan orang ramai untuk tidak melontarkan kecaman terhadap Boy dan mendoakan yang terbaik untuknya.
“Jaga kata-kata kita. Kita semua manusia biasa. Doakan yang baik-baik, maka yang baik akan datang kepada kita,” ujar seorang wanita.