Lelaki misteri curi kereta ‘Porsche’ sebanyak 2 kali termasuk di balai polis.
Jika kita sering membaca kisah-kisah unik jenayah di luar negara, dalam negara kita pun ada juga cerita sebegitu. Salah satunya kisah seorang pencuri licik yang melakukan dua cubaan melarikan kereta Porsche dalam masa dua hari pada tahun 2007. Lebih hebat, dia berani melakukannya sewaktu kereta itu berada dalam kawasan balai polis!
Mungkin ramai sudah lupa, manakala generasi muda mungkin tidak tahu kisah ini. Mari kami ceritakan semula kronologinya.
Pada pagi 17 Julai 2007, seorang lelaki memakai sut lengkap bertali leher datang ke sebuah pusat jualan kereta mewah yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Gaya lelaki itu seperti orang kaya, siap membawa buku cek sekali.
Setelah melihat model kereta yang dipamerkan, lelaki itu membuat keputusan memilih kereta jenama Porsche model 911 Targa 4 yang harganya hampir mencecah sejuta ringgit ketika itu.
Jurujual yang melayani lelaki itu tidak syak apa-apa, apatah lagi lelaki tersebut juga sudah menulis jumlah bayaran tempahan dengan buku cek yang dibawanya.
Ketika jurujual sedang membuat urusan tempahan kereta tersebut, lelaki itu membuat permintaan mahu mendengar bunyi enjin kereta berkuasa tinggi itu.
Sewaktu jurujual membawakan kunci kereta, lelaki itu membuat permintaan untuk dia sendiri menghidupkan enjin kereta tersebut. Katanya, dia mahu merasai pengalaman pertama itu.
Sudah tentu tiada siapa yang syak terhadap lelaki ini, apatah lagi dia sudah menulis cek dan tempahannya sedang diuruskan oleh jurujual.
Namun, di sinilah kecurian pertama bermula. Sebaik saja lelaki itu menghidupkan enjin kereta tersebut, dia terus masuk gear dan menekan pedal minyak, memandu laju Porsche itu dengan merempuh cermin pusat jualan kereta tersebut. Sekelip mata lelaki itu hilang bersama kereta mewah itu.
Adakah pencuri itu berjaya? Tidak! Rupa-rupanya kereta tersebut kehabisan minyak. Lelaki itu meninggalkan Porsche tersebut di tepi jalan pada jarak hanya dua kilometer dari pusat jualan tadi. Kereta mewah itu ditemui semula hanya 30 minit selepas dilarikan lelaki itu. Disebabkan sudah jadi kes polis, Porsche tersebut ditunda dan diletakkan dalam kawasan balai polis sementara kertas laporan berkaitan kes itu disiapkan.
Hah, ini yang menjadikan kes ini lebih menarik. Anda sangka hasrat si pencuri mahukan Porsche itu sudah habis? Belum!
Pada kecurian pertama yang gagal kerana kehabisan minyak, lelaki itu meninggalkan Porsche tersebut, namun bukan kuncinya. Dia lari membawa sekali kunci kereta mewah itu.
Setelah tahu di mana kereta itu disimpan, pada hari kedua, waktu malam sekitar hampir pukul 11.00 malam, si pencuri itu dengan beraninya menyelinap masuk ke dalam kawasan balai polis tersebut selepas memotong pagar perimeter balai.
Kali ini, dia bukan datang dengan tangan kosong. Dia siap membawa satu tong petrol. Selepas mengisi minyak kereta itu, dia hidupkan enjin dan terus memecut keluar dari balai polis tersebut.
Polis yang menjaga laluan gagal menghentikan kecurian itu apabila pencuri tersebut bertindak merempuh laluan keluar masuk balai polis itu. Namun, polis mengambil tindakan segera.
Lebih kurang 10 buah kereta peronda cuba mengesan dan mengejar Porsche tersebut. Dalam masa yang sama, beberapa sekatan jalan raya diwujudkan di sekitar laluan keluar masuk kawasan tersebut.
Akhirnya, kereta itu ditemui sekali lagi, ditinggalkan di sebuah kawasan sunyi berdekatan Maktab Perguruan Tuanku Bainun, kira-kira 10 kilometer dari lokasi ia dilarikan.
Apabila diperiksa, minyak kereta itu masih banyak. Bermakna, ada sebab lain pencuri itu meninggalkan kereta tersebut di situ. Menurut ramalan polis, sekatan yang dijalankan mungkin menyebabkan pencuri itu tahu, dia tiada peluang untuk membawa kereta itu pergi lebih jauh. Sebab itu kereta tersebut ditinggalkan begitu saja.
Siapa Pencuri Porsche?
Kejayaan pencuri itu melarikan Porsche tersebut kali kedua di balai polis telah mencalarkan maruah pihak polis. Siasatan rapi dijalankan. Kesan cap jari pada kereta itu juga diambil.
Teori mengatakan kecurian itu mungkin dilakukan lebih daripada seorang. Siasatan yang dilaporkan pada Oktober 2007 mendapati, kecurian Porsche ini mungkin didalangi oleh kumpulan Geng Mamak, penjenayah yang juga terkenal dengan kegiatan mencuri kereta mewah.
Pada Januari 2008, polis telah menahan beberapa orang lelaki di Gopeng yang terlibat dalam beberapa siri rompakan, dan berkemungkinan ada kaitan dengan kecurian Porsche tersebut.
Namun, sehingga kini sebenarnya tiada pengesahan identiti siapa yang telah mencuri Porsche itu sebanyak dua kali.
Siapa pencuri Porsche itu? Masih misteri. Yang pasti, pencurinya masih bebas. Cuma kini, entah masih hidup atau sudah mati.
Yang pasti, impiannya mahukan Porsche itu gagal. Namun, usahanya dalam mencuri Porsche tersebut sebanyak dua kali, pertama dengan merempuh cermin pusat jualan, dan kedua dengan mencurinya di kawasan balai polis adalah sesuatu yang amat berani dilakukannya.