Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan kerana didakwa mengintai wanita di dalam tandas sebuah pusat beli-belah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku di Jalan Flora Utama, Batu Pahat, kira-kira pukul 12.30 tengah hari Khamis.
Mangsa berusia 28 tahun menyedari suspek sedang mengintainya melalui ruang bawah antara tandas sebelah dengan tandas yang digunakannya.
“Mangsa menjerit meminta tolong sambil menjirus air ke arah suspek,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Shahrulanuar, pengawal keselamatan pusat beli-belah itu datang membantu wanita tersebut dan menangkap suspek yang bersembunyi dalam tandas bersebelahan.
Masuk tandas perempuan pastu intai dari bawah. Sial jantan cina ni. pic.twitter.com/m6QatEtn5i
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) June 14, 2024
Mereka kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis.
“Suspek direman empat hari sehingga 17 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya.
Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan suspek ditegur oleh pengawal keselamatan di dalam tandas.