Lelaki mengamuk baling wang RM13,000 dari balkoni kondominium.
Seorang lelaki Korea Selatan mencetuskan kekecohan apabila dia mengugut untuk terjun dari tingkat lapan sebuah kondominium di Pattaya semalam dan menabur wang kertas dari balkoni, lapor portal berita Pattaya Mail.
Lelaki itu dikenali sebagai Seungwon Jeong itu ditemui dalam keadaan tertekan di balkoni biliknya. Dia menjerit dan menyatakan hasrat untuk terjun dari bangunan tersebut dan memberi amaran kepada orang lain supaya tidak menghampirinya.
Dia juga melemparkan wang berjumlah lebih 100,000 baht (RM13,336) dari balkoni.
Namun, anggota-anggota polis Pattaya bertindak pantas memujuknya dengan menggunakan khidmat jurubahasa Korea. Mereka meyakinkannya untuk membuka pintu dan turun ke tingkat bawah kondominium.
Polis pelancong kemudian mengiringinya ke hospital tempatan untuk pemeriksaan kesihatan. Jeong yang berada di Pattaya selama lebih sebulan mengalami tekanan kerana ditipu oleh teman wanitanya selepas dia melarikan diri dengan sejumlah wang mangsa.
Pihak polis pelancongan itu sedang berhubung dengan saudara-maranya di Korea Selatan untuk menangani situasi tersebut selain memberikan sokongan yang diperlukan kepadanya.