Lelaki mengaku selalu makan makanan viral punca hidap diabetes tahap 2 di usia muda, kena cucuk insulin 4 kali sehari.
Hidup di zaman teknologi digital, media sosial memberikan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Malah, ia turut menjadi penentu gaya hidup seseorang.
Tidak kira dari segi fesyen, automotif, pelancongan, dan pemakanan, media sosial sentiasa mempunyai ‘pengikut’. Namun, kita harus akui bahawa pendedahan kepada media sosial secara keterlaluan boleh memberi kesan buruk terhadap fizikal dan mental kita.
Sebagai contoh, makanan tular sering menjadi buruan ramai, sehingga ada yang sanggup beratur berjam-jam untuk mencubanya. Namun, pengambilan makanan tersebut dalam jumlah yang berlebihan boleh membawa ‘malapetaka’ kepada kesihatan tubuh badan.
Seperti kisah seorang lelaki yang menghidap diabetes tahap 2 pada usia muda.
Bayangkan, pada usia 23 tahun, dia terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Menerusi perkongsian tersebut, lelaki berkenaan mengakui salah satu punca penyakit itu adalah gaya pemakanannya yang tidak sihat. Menurutnya, dia akan mencuba segala makanan tular tanpa memikirkan kesan yang bakal diterima.
“Saya kalau boleh taknak terlepas cuba makanan viral sebab semuanya nampak sedap-sedap sampaikan tak kisah beratur berjam-jam sekalipun.
“Ada sekali tu, saya pernah beratur sampai 3 jam semata-mata nak beli roti viral,” katanya.
Apabila kerap makan makanan seperti itu, dia akui sudah tiada ‘selera’ untuk mengamalkan pemakanan yang lebih sihat. Buah-buahan pun jauh sekali disentuh, apatah lagi sayur-sayuran.
Lebih menyedihkan, kini dia terpaksa menyuntik insulin sebanyak empat kali sehari. Jika tidak mengikut waktu yang ditetapkan, dia mungkin akan mengalami beberapa masalah kesihatan yang boleh mengganggu urusan harian.
“Nak menyesal takde guna dah, nasi dah jadi bubur, sekarang dah jadi rutin kena cucuk insulin empat kali sehari.
“Bila makan pun dah berpada-pada, ambil makanan yang sihat je,” katanya lagi.
Kisah pemuda ini adalah salah satu kes kesihatan yang sangat membimbangkan. Walaupun diabetes bukan penyakit berjangkit, ia menjadi isu global kerana boleh memberi impak yang fatal kepada tubuh manusia.
Namun, perlu ditegaskan bahawa gula itu tidak jahat. Kita masih memerlukan gula, tetapi pengambilannya perlu secara berpada-pada. Jika keterlaluan, memang buruk padahnya.
Menurut Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019, seramai 3.9 juta orang di Malaysia telah menghidap penyakit kencing manis. Selain itu, prevalens diabetes di negara ini pada 2019 meningkat kepada 18.3% berbanding 13.4% pada tahun 2015. Ini termasuk golongan tua dan muda di negara ini, lapor Hello Doktor.
Jenis Tahap Diabetes
Tahap 1
Semua sedia maklum bahawa diabetes ada dua tahap, iaitu tahap 1 dan tahap 2. Bagi diabetes tahap 1, insulin yang penting tidak dapat dihasilkan dalam pankreas untuk menghantar glukosa kepada sel-sel yang memerlukannya. Diabetes tahap 1 ini kebiasaannya dikesan pada usia kanak-kanak atau remaja dan ia juga tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan. Cara rawatannya adalah dengan suntikan atau pam insulin.
Tahap 2
Berbeza dengan tahap 2, ia berlaku disebabkan kerintangan insulin atau kekurangan penghasilan insulin. Tahap ini kebiasaannya dikesan pada umur 30 tahun ke atas dan dikaitkan dengan berat badan berlebihan. Ia juga berkait dengan kolesterol dan tekanan darah yang tinggi. Jika anda didiagnosis dengan diabetes, anda perlu melakukan rawatan awal seperti mengubah diet dan gaya hidup yang sihat.
Jika pengambilan ubat tidak berkesan, anda perlu mendapatkan suntikan insulin.
Semoga kisah ini menjadi teladan untuk semua. Nak makan makanan tular boleh, tetapi jangan keterlaluan sehingga ‘merosakkan’ tubuh badan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pemakanan yang sihat, layari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia.