Lelaki lari ketakutan sampai terjun longkang selepas hentam kereta

Lelaki lari ketakutan sampai terjun longkang selepas hentam kereta

Seorang lelaki bertindak terjun ke dalam longkang bagi menyelamatkan diri selepas dikejar sekumpulan individu berikutan kejadian kemalangan yang membabitkan kereta dipandunya dengan beberapa kenderaan lain pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sehingga Sabtu, 10 laporan kes kemalangan jalan raya melibatkan kejadian tersebut telah diterima untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kejadian bermula kira-kira jam 1 petang ketika kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dari arah Shah Alam menghala ke Jalan Kebun, di sini, telah bergesel dengan sebuah motosikal sehingga berlaku pertengkaran mulut dan penunggang motosikal terbabit turut mengancam untuk merosakkan keretanya.

Lelaki lari ketakutan sampai terjun longkang selepas hentam kereta

“Disebabkan ketakutan, pemandu kereta itu melarikan diri ke arah Jalan Raja Nong selepas dikejar penunggang motosikal terbabit.

“Sampai di Jalan Raja Nong, kereta terbabit telah bergesel dengan sebuah motosikal lain, namun pemandunya meneruskan perjalanan ke arah Jalan Sungai Jati sebelum dikejar oleh kedua-dua penunggang motosikal terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kereta itu kemudian telah melanggar sebuah kereta lain di hadapannya di persimpangan Jalan Sungai Jati sebelum bertindak mengundur dan melawan arus.

Tambahnya, tindakan pemandu itu mengakibatkan keretanya bergesel dengan beberapa kenderaan lain sebelum berhenti selepas melanggar sebuah lori yang diparkir di bahu jalan.

“Kerana takut, pemandu Proton Satria itu telah keluar dari keretanya dan berlari menyelamatkan diri kerana risau keselamatannya terancam apabila dikejar oleh orang ramai.

“Pemandu terbabit bertindak terjun ke dalam longkang bagi menyelamatkan diri, namun beberapa orang awam telah membaling objek dan memukulnya dengan pelepah kelapa sebelum dia menyelamatkan diri di bawah jambatan,” ujarnya.

Kata Hoong Fong, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba di lokasi kemudian telah membawa pemandu terbabit ke balai polis untuk siasatan.

Jelasnya, orang ramai dinasihat agar tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya hingga mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

Baca Juga:
Pelajar 13 tahun tikam ustazah sampai mati kerana dendam
Bekas pemain Harimau Malaya hanya jual pisang raih RM100,000 sebulan
Wanita kutuk laksa Sarawak bau macam jamu ‘maajun’ dikecam orang ramai
CATEGORIES