Aktiviti menghias rumah adalah antara impian setiap individu yang baru memiliki rumah sendiri.
Pelbagai gaya hiasan dalaman dapat dijadikan contoh antaranya kontemporari, bohemian, tradisional, ‘rustic’ mahupun minimalis.
Dinding yang kosong pastinya ingin dihias dengan pelbagai perhiasan seperti potret keluarga mahupun hiasan rak gantung.
Namun, untuk menggantung perhiasan ini perlu melalui proses menebuk dinding dengan menggunakan gerudi tangan.
Proses ini sememangnya agak ‘renyah’ kerana semasa proses tersebut akan terhasilnya habuk dinding yang menjadikan proses mengemas sedikit rumit.
Bagi mengatasi masalah ini, seorang pengguna Facebook yang dikenali dengan nama Hong Guan telah berkongsikan satu cara terbaik untuk mengelakkan habuk dinding bersepah. Ikuti perkongsiannya berikut.
Petua Tebuk Dinding Gaya Pro Tanpa Habuk Bersepah
Sekadar nak kongsi petua tebuk dinding. Selalunya saya buat satu sampul kertas pakai kertas A4 lipat-lipat dan lekatkan dengan pita pelekat di bawah lubang yang nak ditebuk untuk kumpul habuk yang keluar masa gerudi.
Boleh juga pakai sampul surat, beg plastik, apa-apa saja yang boleh kumpul habuk. Dengan cara ini, tak perlu nak sapu atau bersihkan lantai lepas gerudi.
Habuk atau pasir semua terkumpul dalam sampul, buang saja ke dalam tong sampah.
Lagi satu petua, saya lekatkan magnet kecil di tepi gerudi tanpa wayar untuk pegang skru berlebihan. Boleh pasang skru berterusan tanpa perlu ulang alik naik turun tangga.