Lelaki kongsi pengalaman bertemu ‘Awang Kenit’ di hutan Ulu Tembeling

Lelaki kongsi pengalaman bertemu ‘Awang Kenit’ di hutan Ulu Tembeling

Lelaki kongsi pengalaman bertemu ‘Awang Kenit’ di hutan Ulu Tembeling.

Sejak dahulu, kisah Awang Kenit sering diperkatakan. Tidak kurang juga ramai pengkaji cuba mencari kebenaran adakah Awang Kenit atau juga dipanggil Orang Kenit ini benar-benar wujud.

Di negara kita, kisah-kisah penampakan makhluk kecil seperti manusia ini telah dilaporkan sejak zaman dahulu lagi. Antara tahun 1950-an sehingga tahun 2010, banyak penemuan ‘manusia kecil’ dilaporkan. Tak kurang juga yang mengaitkannya dengan kehadiran UFO.

Lelaki kongsi pengalaman bertemu 'Awang Kenit' di hutan Ulu Tembeling

Penemuan ‘orang kecil’ ini juga digambarkan dalam beberapa bentuk fizikal. Ada yang kata tangannya lebih panjang daripada kaki, badan berbulu, tubuhnya warna coklat kemerahan dan banyak lagi. Apa yang pasti, saiz mereka memang kecil dan dipercayai hidup di kawasan hutan tebal.

Lelaki kongsi pengalaman bertemu 'Awang Kenit' di hutan Ulu Tembeling

Mereka yang pernah terserempak dengan Awang Kenit ini mengatakan, kebiasaannya hanya ditemui sekilas pandang dan orang kecil ini akan lari sekelip mata apabila bertembung dengan manusia.

Baru-baru Mastika berkunjung ke Kampung Gusai, sebuah perkampungan yang terletak jauh di pedalaman mukim Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. Kampung Gusai merupakan salah satu pintu masuk ke Taman Negara.

Salah seorang yang turut bersama-sama melayani kami sepanjang di sana ialah abang Zuki, lelaki berusia 50 tahun yang juga merupakan pemandu bot kami. Zuki yang juga merupakan penduduk asal Kampung Gusai menceritakan kepada kami tentang pengalamannya pernah bertembung dengan Awang Kenit di kawasan hutan Ulu Tembeling.

Lelaki kongsi pengalaman bertemu 'Awang Kenit' di hutan Ulu Tembeling

“Kejadian itu sekitar tahun 2012 atau 2013 seingat saya. Ketika itu saya bersama seorang lagi teman mudik ke hulu sungai untuk menjala ikan. Kawan saya berada di bahagian bawah dan saya di bahagian atas, jauh sedikit darinya. Ketika saya mahu menjaring nak cari ikan kelah, ketika itulah saya mendengar suara orang sedang bercakap,” cerita Zuki.

Apabila mendengar suara itu, Zuki berasa aneh. Siapa pula yang berada di kawasan hutan tebal itu? Lalu, dia pergi ke arah bunyi suara itu dan merasa hairan bila melihat ada tiga orang manusia kecil di situ.

“Ada tiga orang, saiznya lebih kurang sama dan kepala mereka botak. Ketinggian mereka hanya setinggi lutut kita saja. Wajahnya seperti kita juga, macam manusia dan ketiga-tiganya ialah lelaki. Mereka tidak berbaju, hanya berseluar pendek saja.

“Saya tegur mereka dan tanya ‘nak ke mana’. Dan mereka jawab, nak ke hilir. Lalu saya kata kepada mereka, kalau nak ke hilir ikutlah arah sungai, kenapa ikut ke arah hutan tu. Tapi, mereka tak peduli dan tetap berjalan masuk ke dalam hutan,” cerita Zuki lagi.

Tambah Zuki, ketika itu tidak pula dia berasa takut walaupun itu kali pertama dia melihat orang kecil seperti itu. Cuma, suara mereka ketika bercakap kedengaran seperti suara budak-budak.

Tertarik dengan orang kecil itu membuatkan Zuki pun ikut sama, menuruti dari belakang mengikut jejak mereka.

“Saya tidak pula rasa takut ketika itu sebab fikir mereka kecil, saya besar. Saiz badan mereka seperti betis lelaki dewasa saja. Takkanlah mereka mampu nak apa-apakan saya. Saya ikut mereka masuk ke dalam hutan, tapi kemudian tiba-tiba saya tersedar. Kalau saya terus ikut mereka, pasti saya akan sesat dalam hutan tebal tu. Mungkin ada mainan sesuatu, entah-entah mereka makhluk halus. Sebab risau sesat, saya berhenti ikut mereka dan berpatah balik semula ke arah sungai,” ujar Zuki.

Zuki kemudian menceritakan pengalamannya itu kepada penduduk kampung dan ramai mengatakan apa yang dilihatnya itu ialah Awang Kenit.

“Masa mula-mula jumpa tu, saya pun tak tahu itu makhluk apa. Memang saya rasa pelik orangnya kecil je tapi boleh bercakap seperti kita manusia. Bila saya ceritakan pada orang kampung, ramai kata itulah Awang Kenit. Tak tahulah betul atau tidak. Cuma bila difikirkan semula, mujur saya tak terus ikut mereka masuk ke dalam hutan ketika itu. Jika tidak, tak tahulah apa akan jadi,” ujarnya mengakhiri perbualan kami petang itu.

Baca juga:
Gara-gara berkongsi momen lunas bayar zakat, Che Ta, Shahirah dikecam riak
Pasangan pengantin bersanding dalam Zoo Negara menarik perhatian warga netizen
Nama dipetik warganet kes ahli perniagaan hilang cincin bernilai RM3.73 juta di Paris, ini respons Vivy Yusof
CATEGORIES