Lelaki kongsi kisah penjara Thailand yang menggerunkan.
Seorang lelaki berkongsi pengalamannya ketika melawat penjara di Thailand yang terkenal dengan keadaan yang penuh mencabar dan sesak.
Menerusi hantaran di TikTok oleh pengguna Diey Bundle, terdapat 144 pusat tahanan di seluruh Thailand, termasuk 11 pusat tahanan di Bangkok.
“Salah satu penjara yang paling digeruni di negara itu ialah Penjara Pusat Bang Kwang, atau lebih dikenali sebagai ‘Harimau Besar’, yang menempatkan banduan dengan hukuman penjara sepanjang hayat atau mereka yang menunggu hukuman mati.
“Penjara ini menempatkan penjenayah tegar, termasuk pembunuh, pengedar dadah, ‘mafia’, dan kumpulan samseng,” katanya dalam video berkenaan.
Tambahnya lagi, ‘Harimau Besar’ merupakan destinasi terakhir bagi penjenayah berat yang dianggap tidak dapat dijinakkan di penjara lain.
Penjara ini juga terkenal dengan hukuman mati, yang kini dilaksanakan melalui suntikan maut sejak 2003, menggantikan kaedah tembakan sebelum ini.
“Apabila banduan memasuki Bang Kwang, mereka akan kekal di situ dan hanya akan keluar sebagai mayat kerana di Bang Kwang, kebanyakan banduan menerima hukuman sepanjang hayat atau menunggu hukuman mati,” katanya.
Menurut pengguna tersebut, banduan di penjara ini akan dipakaikan rantai di kedua-dua belah kaki yang disambungkan ke pinggang mereka selama tiga bulan pertama hukuman.
“Hukuman ini menyebabkan tekanan emosi yang tinggi kepada banduan dan mendorong mereka untuk cuba membunuh diri,” jelasnya.
Selain Bang Kwang, Penjara Pusat Klong Prem merupakan penjara dengan keselamatan maksimum yang menempatkan banduan dengan hukuman penjara antara 10 hingga 50 tahun. Antara banduan terkenal yang pernah berada di sini termasuk Xavier Justo, pemberi maklumat bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tambahnya lagi, keadaan di penjara tersebut mengalami kesesakan yang melampau, dengan sel yang sepatutnya menampung 20 orang terpaksa memuatkan sehingga 80 orang banduan.
“Banduan di sana terpaksa bergilir tidur kerana kekurangan ruang dan perlu berada dalam sel selama 18 hingga 19 jam setiap hari dengan lampu dinyalakan selama 24 jam untuk tujuan keselamatan,” katanya.
Di samping itu, penjara di Thailand turut mempunyai istilah ‘Cash is King’, di mana banduan yang mempunyai wang boleh mendapatkan pelbagai kemudahan seperti makanan tambahan dan barangan harian.
Keadaan penjara yang sesak dan kotor sering menerima kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO). Namun, bagi kebanyakan warga Thailand, mereka percaya bahawa ini adalah balasan atau karma bagi kesalahan yang dilakukan.
Walau bagaimanapun, situasi ini menunjukkan perbezaan yang jelas antara penjara di Thailand dan di Malaysia.