Lelaki kongsi cara menggunakan ChatGPT untuk mencari pekerjaan baharu.
Di zaman yang serba moden ini, platform Kecerdasan Buatan atau AI seperti ChatGPT semakin menjadi pilihan masyarakat dunia untuk mencari maklumat atau membantu mereka menyelesaikan pelbagai pekerjaan.
Salah seorang pengguna di laman Threads berkongsi cara untuk individu yang ingin mencari pekerjaan baharu dalam karier mereka.
Menurutnya, platform ChatGPT boleh membantu individu yang mencari pekerjaan baharu untuk memantapkan portfolio mereka, yang boleh digunakan di laman seperti LinkedIn dan Indeed.
Pertama, anda boleh memasukkan jenis jawatan yang dicari serta lokasi yang sesuai dengan pilihan anda di bahagian carian dalam aplikasi atau laman web ChatGPT.
Kedua, ChatGPT boleh membantu anda menyesuaikan resume dengan kata kunci yang betul untuk pekerjaan tertentu.
Tuliskan huraian kerja di bahagian carian dan minta platform tersebut menunjukkan kemahiran serta kelayakan utama yang dicari oleh majikan.
Kemudian, gunakan ChatGPT untuk membantu anda menguraikan semula pengalaman anda supaya ia sepadan dengan keperluan yang dinyatakan. Chatbot ini boleh mencadangkan kata kerja yang sesuai serta istilah khusus industri untuk menonjolkan resume anda.
Seterusnya, anda juga boleh mendapatkan maklumat mengenai latar belakang syarikat sekiranya anda dipanggil untuk sesi temuduga. Langkah ini boleh membantu anda mempersiapkan diri serta meluaskan pengetahuan anda mengenai syarikat tersebut.
Akhir sekali, anda juga boleh menambah ilmu atau mempelajari perkara baharu yang sesuai dengan keperluan industri anda atau industri baharu melalui ChatGPT.
Apa yang paling penting, ChatGPT adalah alat bantu untuk mencari pekerjaan baharu dan tidak boleh dijadikan sandaran penuh semasa melaksanakan tugas atau membuat keputusan penting berkaitan pekerjaan.