Lelaki kongsi buat ‘flood barrier’ halang air masuk dalam rumah ketika banjir.
Sejak kebelakangan ini, negara sering dilanda cuaca buruk seperti hujan lebat yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.
Bagi penduduk di kawasan rendah atau petempatan bandar yang berisiko menghadapi banjir kilat, perkara ini semestinya merupakan musibah yang ingin dijauhi.
Banjir bukan sahaja boleh mengancam nyawa, malah ia juga merosakkan banyak harta benda. Perkara ini tentu merunsingkan isi rumah yang sering terjejas akibat banjir.
Sehubungan itu, hari ini akan berkongsi salah satu tip untuk mengatasi masalah ini, iaitu pembinaan benteng banjir atau flood barrier pada rumah.
Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti perkongsian Seri Dewi Amin melalui Facebook kumpulan Tukang Apa Hari Ini di bawah.
Flood Barrier
Saya nak kongsi tentang flood barrier yang ada dekat rumah mak saya. Kami minta tukang besi untuk buatkan. Sebab bila hujan lebat sangat, longkang belakang rumah penuh, dan rumah mak sering menjadi mangsa air bertakung dan banjir kilat. Susah juga nak bersihkan, walaupun air hanya paras buku lali.
Sejak musim banjir, banyak kali saya nampak orang kongsi gambar flood barrier dari Google. Jadi, ini adalah contoh yang sebenar di rumah mak saya.
Sejak dipasang, alhamdulillah air tak masuk, cuma bahagian bawah tu ada sedikit air yang menjadikan lantai lecak sahaja. Jadi, bila air kering, boleh mop saja, tak penat sangat.
Masa minta tukang besi buatkan, saya cakap nak penghadang air konsep macam empangan. Dia boleh tarik dan tutup. Saya juga tunjuk gambar dari Google sebagai rujukan, dan inilah hasilnya yang tukang besi buatkan. Alhamdulillah, sangat-sangat membantu!
Flood barrier ni, boleh install dekat rumah yang selalu banjir manja-manja sahaja, macam setakat 1 hingga 3 kaki. Instead of buat bonggol depan pintu rumah tak cantik, so boleh buat begini.
Sekian perkongsian saya. Selamat mencuba.