Gara-gara melakukan cubaan berkhatan sendiri menggunakan kit DIY yang dibeli dalam talian, seorang lelaki di Taiwan menerima padahnya apabila dimasukkan ke hospital, lapor Sin Chew Daily.
Pakar Urologi, Dr. Chen Zhongzuo berkongsi kisah itu menerusi hantaran di media sosialnya.
Dalam hantaran itu, Dr. Chen menceritakan bagaimana pesakit berkenaan datang dengan alat sulit dalam keadaan bengkak selepas cuba berkhatan dengan kit yang dibelinya di platform Taobao.
Pesakit itu berkata, kit berkenaan mengandungi ubat bius ringan yang disembur pada kemaluannya. Bagaimanapun, prosedur ketika berkhatan itu membuatkannya sakit.
Selepas tujuh hari, lelaki itu tidak dapat menahan kesakitan lalu nekad mendapatkan rawatan perubatan.
Dr. Chen berkata, alat sulit lelaki itu dijangkiti kuman dan antibiotik diperlukan.
Menurut Dr. Chen, berikutan itu, lelaki terbabit perlu menjalani pembedahan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan lelaki supaya tidak melakukan cubaan berkhatan sendiri.
Katanya, ini kerana risiko perkara yang tidak diingini berlaku adalah tinggi.