Lelaki kerat kemaluan sendiri selepas makan ‘cendawan ajaib’.
Seorang lelaki yang bercuti di Austria mengalami gangguan mental selepas memakan tumbuhan dikenali sebagai ‘cendawan ajaib’, sehingga mendorongnya untuk memotong zakarnya dan menyimpan organ tersebut di dalam sebuah balang berisi salji, lapor portal berita MailOnline semalam.
Lelaki berusia 37 tahun itu memakan empat atau lima cendawan tersebut sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) sebelum mengambil kapak tumpul dan mengerat zakarnya kepada beberapa bahagian.
Dia kemudian terhuyung-hayang keluar dari rumah dan dibantu oleh seorang pejalan kaki yang segera membawanya ke hospital terdekat.
Lelaki itu dibawa ke bilik pembedahan, di mana doktor bertindak mengawal pendarahan dan membersihkan kepingan zakar yang disimpan di dalam balang tersebut.
Beberapa bahagian yang rosak terpaksa dibuang, namun doktor berjaya menyambung semula zakarnya, walaupun saiznya tidak sama seperti asal.
Walaupun begitu, lelaki tersebut masih mengalami halusinasi dan cuba melarikan diri dari hospital selepas didapati menyeludup cendawan itu ke dalam bilik hospitalnya.
Dia kemudiannya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi, tetapi kembali ke wad selepas gejala psikotiknya bertambah baik dengan rawatan ubat.