Lelaki kedekut hanya makan nasi kuah air sejuk selama 21 tahun berjaya kumpul duit RM4 juta.
Seorang lelaki berusia 45 tahun di Jepun memutuskan untuk bersikap kedekut pada awal 2000-an demi menikmati kehidupan selesa selepas bersara, lapor portal berita MSNews hari ini.
Lelaki itu bekerja di sebuah syarikat yang memerlukan kerja lebih masa hingga lewat malam. Majikannya memberitahu bahawa kerja keras dan lebih masa adalah kunci kepada kebahagiaan pada masa depan.
Untuk menjimatkan wang agar boleh bersara awal, lelaki itu hanya makan nasi dengan air sejuk. Dia menggunakan strategi menyimpan wang secara ekstrem dan selama lebih 20 tahun, dia tinggal di asrama syarikat dengan membayar sewa hanya 30,000 yen (RM901) sebulan. Selain itu, dia juga menggunakan peralatan dan perabot terpakai untuk kediamannya.
Kadang-kadang, dia bergantung kepada minuman tenaga yang diperoleh melalui mata ganjaran di kedai serbaneka atau minum cola dan makan biskut sambil menonton filem bertemakan penjara. Ini kerana dia cuba membandingkan kesusahan yang ditempuhnya dengan hukuman penjara selama 20 tahun.
Akhirnya, selepas berjimat cermat selama 21 tahun, lelaki itu berjaya menjadi jutawan.
Dedikasinya membuahkan hasil pada awal tahun ini apabila dia berjaya menyimpan sebanyak 135 juta yen (RM4.05 juta) selepas hampir 21 tahun bersama syarikat tersebut.
Diilhamkan oleh gaya hidupnya yang berjimat cermat, dia mula menulis buku tentang cara menyimpan wang, sekali gus menambah pendapatannya.
Namun kini, dia dihantui kebimbangan kerana simpanannya semakin berkurangan disebabkan oleh nilai yen yang semakin menyusut.