“Mohon maaf kami kerana tidak dapat membuatkan lagi batu tanda untuk rumah ayah ini kerana keluarga ayah telah mengambil wang itu dan mereka sama sekali tidak membantu keluarga kita.
“Mohon maaf kami, isteri dan anak-anak ayah. Kami sangat menyayangi ayah. Semoga ayah tenang di sana.” Itulah coretan luahan seorang isteri kepada suaminya dalam sekeping nota yang ditemui oleh Anan Mohamad Adli Adanan, kelmarin.
Kisah tersebut menarik perhatian warganet setelah pengusaha perkhidmatan pemasangan rumput tiruan, Anan, 40 tahun, berkongsi gambar nota tersebut di Instagram (IG) dan TikTok miliknya.
Anan berkongsi kisah itu dengan mengatakan bahawa dia menemui nota tersebut kelmarin selepas menyiapkan kerja pemasangan rumput hidup di sebuah tanah perkuburan Islam berdekatan Gombak, Selangor. “Saya menemui nota itu dalam plastik berhampiran sebuah pusara yang tidak mempunyai nisan ketika saya sedang mengemas barang untuk pulang.
“Semasa membaca nota tersebut, saya terus terharu kerana terfikir bahawa kisah ini hanya berlaku dalam drama sahaja.
“Namun, ia berlaku dalam kehidupan nyata dan saya dapat merasai kesedihan isteri kepada Allahyarham,” katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro.
Menurut Anan, niatnya untuk berkongsi gambar tersebut di media sosial adalah sekadar untuk menceritakan pengalaman yang dialaminya.
“Tidak ada niat untuk mempermalukan sesiapa pun dan sehingga kini, tiada ahli waris yang muncul.
“Hanya ada seorang hamba Allah yang juga merupakan pelanggan lama saya yang menghubungi saya untuk menaja membersihkan dan mengemas pusara tersebut.
“Selepas berbincang, kami memutuskan untuk tidak membuat kepuk kubur dan bangunan tetap di atas pusara.
“Sebaliknya, kami akan membersihkan dan mengemas kemudian mengganti rumput hidup yang baru di sekeliling dan atas pusara.
“Alhamdulillah, saya berjaya menunaikan amanah hamba Allah itu semalam dengan bantuan pasukan,” katanya yang menjalankan perkhidmatan tersebut sepenuh masa sejak 2016 selepas berkhidmat selama 10 tahun sebagai jurutera sistem di sebuah syarikat.
Menurut Anan, sebelum ini, dia juga pernah mengalami pengalaman menemui pembungkusan misteri semasa melakukan kerja pemasangan rumput.
“Suatu ketika, saya ada projek di halaman sebuah rumah dan selepas menggali tanah, saya menemui plastik yang mengandungi tulang di dalamnya.
“Plastik tersebut dibalut dengan kain kafan dan saya segera memberitahu tuan rumah mengenainya.
” Itu adalah antara pengalaman yang saya tidak boleh lupakan tetapi tidak semuanya dikongsi dan jika ada pun, hanya untuk memberitahu pengikut bahawa ia berlaku dalam masyarakat,” katanya.