Lelaki ini miliki ikan kelah tapir yang jarang ditemui di sungai Malaysia.
Seorang penduduk di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, dekat sini, mempunyai hobi unik dengan membela ratusan ikan eksotik termasuk seekor ikan kelah tapir yang semakin pupus.
Muhammad Haniff Hassin, 43, berkata beliau membela sebanyak 150 ekor ikan kelah merah dan 80 ekor ikan tengas yang ditangkap sendiri dan dibela di rumahnya.
“Paling istimewa ialah kelah tapir yang saya tangkap sejak sebulan lalu. Ada pihak yang menawarkan lebih RM6,000 untuk membelinya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, beliau lebih meminati ikan eksotik berbanding ikan hiasan biasa untuk kepuasan diri.
“Setakat ini, ikan kelah tapir adalah yang paling berharga kerana spesies ini jarang ditemui.
“Warna merah dan jingga serta mulutnya yang agak muncung seperti tapir menjadikan ikan ini unik dan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata, ramai peminat ikan kelah merah dari seluruh negara datang ke rumahnya untuk melihat koleksi ikan yang dibela sejak lima tahun lalu.
“Selain membela ikan sebagai hobi, saya juga menjual ikan kelah dan tengas kepada orang ramai yang berminat, dengan harga antara RM20 hingga RM5,000 seekor.
“Harga ikan kelah merah mahal kerana sukar ditangkap dan tidak dijual bebas di pasaran.
“Ikan kelah merah di negeri ini mempunyai identiti tersendiri dan berkualiti tinggi, menyebabkan permintaannya agak tinggi,” katanya.
Menurutnya, hobi membela ikan kelah merah ini juga merupakan satu terapi minda yang sangat berkesan.
“Saya meluangkan masa lebih tiga jam setiap malam untuk memerhatikan gelagat ikan kelah merah berenang dalam akuarium, maklumlah ikan kelah ini antara ikan sungai yang sangat aktif,” katanya.