Lelaki ini dakwa paling kebal telan 21 kala jengking selama 10 saat

Photo of author

By Syima Iza

Lelaki cacah tatu Messi pada dahi menyesal selepas kena kecam. SALAH satu haiwan berbisa yang cuba kita elakkan bila ‘bertemu’ ialah kala jangking. Ada spesies haiwan ini yang bisanya mampu membunuh manusia.

Namun, pernah ada seorang lelaki dari Amerika Syarikat yang mendakwa dirinya adalah manusia yang kebal dengan bisa kala jengking. Lelaki itu, Dean Allan Sheldon mendakwa dirinya antara manusia paling kebal di Amerika.

Dikatakan tahap kekebalan tubuhnya bukan calang-calang biasa. Dia mampu meletakkan puluhan kala jengking liar dan paling beracun di dunia ke dalam mulutnya sekali gus, tanpa memberi sebarang impak buruk ke atas dirinya.

Pengakuan Dean pernah dianggap gila dan tidak masuk akal. Pada tahun 2011, lelaki ini ditemuramah oleh siri dokumentasi televisyen, Stan Lee’s Superhumans untuk membuktikan dakwaannya itu.

Mereka datang menemuramah Dean di Arizona. Menerusi penggambaran selama dua hari itu, beliau diberi peluang untuk menunjukkan aksi luar biasa seperti yang pernah didakwanya sebelum itu.

Lelaki ini dakwa paling kebal telan 21 kala jengking selama 10 saat

Pada hari pertama ia direkodkan, Dean tanpa sengaja telah menjatuhkan koleksi kala jengkingnya menyebabkan semua krew yang terlibat lari bertempiaran kerana ketakutan. Namun begitu, dia selamba sahaja mengambil dan mengumpulkan haiwan berbisa itu dengan tangan.

Dean kemudian dicabar untuk keluar berburu – mengambil kala jengking liar terus dari sarangnya. Mereka pergi mencari araknid berkaki lapan itu sekitar waktu malam. Kerana pada hari gelap, kulit luar kala jengking mengeluarkan cahaya menjadikan ia lebih mudah ditemui. Hasilnya, mereka berjaya membawa balik sebanyak 22 ekor kala jengking berbisa, dikenali sebagai striped bark scorpion.

Ben Holland, pakar kala jengking dari Arizona State University, yang turut dijemput ke dalam rancangan tersebut berkata, kala jengking jenis itu rata-rata berukuran kecil. Namun, ia mempunyai sengatan yang sangat menyakitkan dan bisanya boleh menyebabkan rasa nyeri yang luar biasa sehingga mulut berbuih.

Lelaki ini dakwa paling kebal telan 21 kala jengking selama 10 saat
Lelaki yang membuktikan tubuhnya kebal terhadap bisa kala jengking.

Menurut Ben, hanya beberapa auns mikro racun haiwan itu sudah cukup untuk membunuh seorang lelaki. Dan tidak ada satu cara pun mengeluarkan racun itu melainkan dengan sengatan. Sebab itu, kebanyakan pakar tidak akan menyentuh haiwan tersebut melainkan dengan menggunakan alat penyepit kerana di hujung ekornya tersimpan bisa yang boleh mematikan. Justeru, beliau tidak mengesyorkan sama sekali Dean melakukan aksi berbahaya itu.

Pada hari kedua penggambaran, Dean sudah tidak sabar untuk menunjukkan kebolehannya. Selepas paramedik dibawa masuk, dia terus mengambil 22 ekor kala jengking dengan tangannya – dikumpulkan lalu dimasukkan ke mulut sekali gus. Dalam usaha untuk memasukkan kesemua sekali, sebahagian haiwan itu dilihat berebut-rebut cuba keluar dari mulutnya dan mulai menjalar di muka serta anggota badannya.

Menurut Dean, dia tidak boleh menutup mulut dengan rapat. Kerana jika berbuat begitu, lebih banyak air liur akan terhasil di dalam mulutnya dan ‘mereka’ akan lebih mudah untuk menyengat. Sebab itulah, dia sengaja membuka sedikit bibir bagi membolehkan udara masuk lalu mengeringkan bahagian dalam mulutnya.

Ben yang tekun memerhatikan aksi tersebut berkata, kala jengking sebenarnya sedang bertempur di dalam mulut Dean. Beliau yang telah mengkaji kala jengking di Gurun Sonoron selama lebih dari satu dekad menerangkan bahawa hal itu sudah pasti kerana kala jengking sangat tidak senang berada di sekitar kala jengking lain. Justeru, beliau meramalkan – Dean akan menerima beratus-ratus sengatan yang berakhir dengan fatal.

Ahli paramedik yang telah bersiap sedia dari awal juga kelihatan berdebar. Petugas perubatan yang terlibat berkata, mereka telah meletakkan wayar pada bahagian tubuh lelaki itu dan disambung ke monitor untuk melihat perubahan jantungnya. Disebabkan aksi itu boleh membunuh, mereka turut menjangkakan – hanya dalam tempoh beberapa saat selepas aksi itu Dean kemungkinan akan segera dikejarkan ke hospital. Paling tidak pun, denyutan nadinya akan menaik dengan cepat dan merasa kesakitan yang luar biasa.

3 3 e1672545497864
Ramai terkejut dengan kebolehan tubuh Dean yang langsung tidak terjejas dengan beratus sengatan kala jengking.

Ternyata, mereka silap. Dean dilihat baik-baik sahaja sepanjang pertunjukan itu, malah langsung tidak terjejas dengan sengatan beracun. Katanya, dia terkena sengatan hampir beratus-ratus pada bibir dan dalam mulutnya pada satu masa. Pelik sekali, dia langsung tidak merasa sakit walaupun sedikit. Baginya, sakit sengatan tidak dapat menandingi rasa nyeri ketika haiwan itu menyepit.

Pengakuan itu membuatkan semua yang berada di set lokasi tercengang. Ulas ahli paramedik, Dean sepatutnya mati kerana terkena sengatan beracun. Tapi, dia terselamat dan ini benar-benar perkara menakjubkan.

Ben juga menyatakan, Dean memang gila. Dia masih tidak percaya dan sangat terkejut dengan apa yang dilihatnya. Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai agar tidak meniru aksi tersebut. Ini kerana ia amat merbahaya dan berisiko mendatangkan maut.

Selain muncul dalam pelbagai persembahan lain, Dean juga pernah terlibat dalam rancangan rekod dunia Guinness pada 2001, di mana dia memasukkan 21 ekor kala jengking ke dalam mulutnya selama 10 saat.

Baca Lagi:
Wisma Jakel Shah Alam terbakar
Kehilangan wartawan Pakistan makin misteri, ada pihak tidak menceritakan keadaan sebenar – Peguam
Kereta terbabas ketika perlumbaan di Litar Dato’ Sagor, penonton maut kena rempuh