Lelaki dipenjara 6 bulan selepas cekup isteri berkhalwat di hotel.
Seorang lelaki di China dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menerima wang pampasan daripada kekasih gelap isterinya setelah ‘menangkap’ mereka berdua-duaan di sebuah bilik hotel, lapor portal berita Oddity Central semalam.
Lu, 33, mula mengesyaki isterinya berlaku curang apabila wanita tersebut mengambil masa terlalu lama untuk bersiap sebelum menghantar anak perempuan mereka ke kelas tutor pada Mac 2021. Lu kemudian mengekori isterinya pada hari tersebut dan mendapati wanita itu bersama seorang lelaki lain di dalam bilik hotel.
Selepas penemuan tersebut, Lu ditawarkan wang sebanyak 25,000 yuan (RM15,100) oleh lelaki bernama Liu, sebagai pampasan kerana berlaku curang dengan isterinya.
“Saya menerima tawaran tersebut dan ia akan dibayar secara ansuran selama tiga bulan secara dalam talian,” kata Lu.
Namun, Lu terkejut apabila Liu memfailkan aduan di mahkamah, menuduh Lu memeras ugutnya. Lu berpendapat bekas isterinya merupakan dalang di sebalik aduan itu, kerana ingin mendapatkan kelebihan dalam hak penjagaan anak mereka.
Mahkamah daerah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas Lu atas tuduhan memeras ugut kekasih isterinya, selain memaksa Lu membayar ganti rugi kepada Liu.
Bagaimanapun, selepas membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Wilayah, Lu akhirnya dibebaskan. Hakim memutuskan bahawa Lu tidak memaksa Liu membayar 25,000 yuan, sebaliknya ia merupakan hasil rundingan bersama.
Selain itu, hakim juga menyatakan bahawa tindakan Liu melanggar ketenteraman awam, adat resam, dan standard moral, justeru tindakan Lu dianggap wajar.