Seorang lelaki Arab Saudi telah dipuji dan diberikan pelbagai hadiah mewah selepas berita tentang dia menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada dilanggar di luar Riyadh tersebar luas, melaporkan portal berita Gulf News semalam.
Sebelum ini, sebuah rakaman video yang viral menunjukkan seorang lelaki bernama Abdullah Al Anzi menghentikan keretanya apabila dia melihat seorang kanak-kanak berjalan di tengah jalan raya di bandar Al Kharj, di tenggara Riyadh.
Dia memberhentikan keretanya untuk membolehkan kanak-kanak tersebut melintas dengan selamat.
Semasa Al Anzi berbuat demikian, dia melihat sebuah kereta sedang laju menuju ke arah kanak-kanak itu.
Dia dengan cepat mengalihkan kenderaannya untuk menghalang kereta tersebut yang kemudian merempuh keretanya dalam usaha menyelamatkan mangsa. Kanak-kanak lelaki itu tidak cedera dalam kejadian itu.
Laman berita Arab Saudi, Al Marsd melaporkan bahawa sebuah kedai barang kemas menghadiahkan sebentuk cincin berlian kepada Al Anzi dan turut memberikan sebiji lagi kepada ibu kanak-kanak itu.
Seorang ahli perniagaan, Sheikh Hazah Aba Al Rus juga memberikan hadiah berupa wang tunai, pedang, kuda Arab, dan jubah tradisional kepadanya.
Al Anzi juga menerima lebih banyak hadiah termasuk tawaran untuk membaiki keretanya serta insurans dan bekalan petrol selama setahun.
— فيديوهات منوعة (@EsmailBaher) April 2, 2024