Lelaki buta ajar tuisyen dari rumah ke rumah

Photo of author

By Syima Iza

Kecacatan penglihatan yang dialami oleh seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) tidak menghalangnya daripada berusaha gigih mencari rezeki dengan mengajar tuisyen dari rumah ke rumah.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Prakash dan dia mengajar tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk pelajar yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menerusi video yang dimuat naik oleh selebriti, Anis Nabilah, pada Instagramnya hari ini, Prakash menerangkan bahawa setakat ini dia mengajar dua pelajar, masing-masing di Bandar Sunway dan Cheras.

Lelaki buta ajar tuisyen dari rumah ke rumah

“Kini, terdapat perisian di dalam telefon yang perlu diaktifkan untuk digunakan (bagi orang buta). Begitu juga dengan komputer, apabila kita tekan papan kekunci, ia akan ‘bercakap’.

“Untuk mengajar Sejarah, saya banyak menggunakan perbincangan. Saya akan memberi topik dan berbincang dengan pelajar. Saya juga akan berkongsi dengan mereka dan membetulkan kesilapan sekiranya perlu. Saya tidak banyak menggunakan buku teks,” katanya apabila ditanya mengenai pendekatan yang digunakan ketika mengajar tuisyen.

Anis Nabilah berkongsi dalam kapsyen bahawa dia bertemu dengan Prakash pada Khamis lepas ketika lelaki itu menunggu kenderaan e-hailing di tepi jalan.

“Saya melihatnya berdiri seorang diri selama 10 minit. Banyak kereta ‘drive’ laju di tepi dia, tetapi kenderaan e-hailing tidak kunjung tiba. Jadi, selepas saya selesai makan, saya pergi kepadanya dan bertanya sama ada dia ‘ok’.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anis Nabilah (@anis_nabilah)

“Dia telah menunggu lama untuk kenderaan e-hailing, mungkin hampir lewat pukul 1 pagi. Saya menawarkan untuk menghantar dia pulang. Semasa itu, saya berbual dengan dia, dia sangat sopan, lembut dalam bertutur kata dan sangat jelas dalam berbicara.

“Prakash memberitahu saya bahawa dia mengajar tuisyen untuk SPM, setakat ini ada dua pelajar tahun ini. Tahun lepas, dia mengajar empat orang pelajar, jadi dia sedang mencari sesiapa yang berminat untuk belajar dengan dia,” katanya.

Anis Nabilah juga berkongsi bahawa ramai yang mencadangkan Prakash untuk memuat naik kandungan video di media sosial, tetapi lelaki OKU itu memerlukan bantuan dalam merakam dan bayaran untuk membantu adalah mahal yang mana dia tidak mampu.

“Prakash telah berkongsi nombor telefonnya, jadi sesiapa yang berminat boleh menghubunginya. Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan Prakash dan saya harap dengan berkongsi video ini, ia dapat membantu Prakash mendapatkan lebih ramai pelajar,” katanya.

Baca Juga:
Belajar sampai sekolah menengah, wanita ini terima gaji sebulan lebih RM29,000
“Mu main mende sini!”- Budak lelaki selamba lepak dekat kubur seorang diri sambil tengok video
Boleh ke isteri ambil duit suami senyap-senyap?