Bangunan dan terminal lama di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, akan dibongkar untuk memberi laluan kepada projek peningkatan lapangan terbang itu bagi fasa 2.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek peningkatan LTSIP fasa 2 kini sedang berjalan selepas pembukaan terminal baru fasa 1 yang beroperasi secara rasmi semalam.
Beliau menyatakan bahawa projek tersebut sedang dijalankan dengan segera untuk memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual.
“Projek LTSIP fasa 2 telah bermula selepas terminal baru fasa 1 mula beroperasi.
“Ia melibatkan pembongkaran bangunan lama LTSIP untuk pembangunan bagi projek fasa kedua,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor hari ini.
Kosmo! melaporkan hari ini, LTSIP, Pengkalan Chepa, bersedia untuk menerima penerbangan antarabangsa masuk ke Kelantan hujung tahun ini susulan terminal baru fasa 1 beroperasi secara rasmi semalam.