Langgar kontrak, Amelia Henderson diperintah bayar lebih RM200,000 kepada A.Aida. Pelakon, Amelia Handerson perlu membayar ganti rugi hampir RM200,000 kepada syarikat produksi milik A. Aida selepas didapati melanggar kontrak lakonan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson didapati jelas telah melanggar terma-terma kontrak dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Ganti rugi tersebut termasuk bayaran pertama yang diterima pelakon itu dan ganti rugi am. Turut diperintahkan ialah kos sebanyak RM18,000.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November 2022, seramai tiga saksi plaintif termasuk Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia hadir memberi keterangan.
Ketika perbicaraan sebelum ini, seorang pengurus syarikat produksi memberitahu mahkamah bahawa A. Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara itu, pelakon berkenaan menafikan melanggar kontrak yang ditawarkan untuk membintangi drama berjudul ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’.
Amelia sebaliknya mendakwa, pihak produksi berkenaan tidak mengikut perjanjian awal seperti mana yang telah ditetapkan.
Pada peringkat awal, Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, memfailkan saman terhadap Amelia dan seorang lagi pelakon drama itu, Idris Khan.
Bagaimanapun pada 22 November 2022, Aida dan Idris bersetuju untuk menyelesaikan kes itu secara baik di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes itu.