Kumpulan Radja terima ancaman bunuh selepas konsert di Larkin. Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kumpulan muzik Indonesia, Radja, yang mendakwa dihambur kata-kata kesat serta diugut bunuh, dalam kejadian malam semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dua lelaki itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), petang tadi.
“Kira-kira jam 3.30 petang tadi, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS telah menahan kedua-dua suspek di perkarangan IPD JBS.
“Hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki warga tempatan yang berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan memandangkan siasatan masih dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250,” katanya.
Semalam, Radja mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini sebelum berlakunya salah faham antara pihak penganjur konsert dan juga band berkenaan.
Dua lelaki yang dipercayai wakil penganjur didakwa melemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh kepada ahli kumpulan itu.
Ia berlaku selepas kumpulan muzik itu tidak dimaklumkan tentang sesi ‘Meet and Greet’ antara band berkenaan dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancangkan pihak penganjur.
Terdahulu, Kamarul Zaman memaklumkan polis sudah memulakan siasatan ke atas kes berkenaan selepas menerima laporan polis dibuat pengurus kumpulan muzik itu awal pagi tadi.