Kumpulan kongsi gelap bakar mercun di tengah jalan di Damansara.
Polis menahan 12 individu yang disyaki terbabit kejadian membakar mercun dan menggantung sepanduk kumpulan kongsi gelap di Jalan Kayu Ara, Damansara di sini, semalam.
Kesemua lelaki berusia antara 22 hingga 68 tahun itu ditahan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar Kampung Sungai Kayu Ara pada 10 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pada mulanya polis terkesan satu video tular berdurasi 22 saat yang menunjukkan seorang lelaki membakar mercun sambil menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat.
“Terdapat konvoi beberapa motosikal yang mengiringi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang menggantung sepanduk berunsurkan gengsterisme.
“Hasil siasatan mendapati video itu dimuat naik satu pemilik akaun media sosial Facebook pada 2 petang semalam dan kejadian dikesan berlaku di Kayu Ara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pasukan polis menahan 12 individu yang dipercayai terbabit kes itu.
Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan Toyota Vellfire dan alat kawalan jauh.
“Semakan lanjut mendapati enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, dikehendaki dan kes komersil di Penampang, Sabah,” katanya.
Katanya, tiga suspek dibenarkan reman sehari manakala selebihnya direman empat hari sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(A) Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.