Buat anda yang mempunyai kucing peliharaan di rumah sama ada dipelihara secara indoor atau outdoor, pasti akan memantau aktiviti si bulus ini dengan teliti. Tambah pula kalau sudah dijaga dalam tempoh yang lama, jika kucing hilang dari rumah selama berhari-hari, menangis dibuatnya tuan kucing tersebut!
Kini pemilik kucing tidak perlu lagi risau kerana melalui perkongsian Arif Haiqal di laman X, didedahkan beberapa tip untuk mencari si bulus yang hilang atau melarikan diri. Anda boleh gunakan teknik orang Jepun dan juga amalkan beberapa doa supaya si bulus ini kembali ke pangkuan.
Salah satu teknik tersebut dikatakan menjadi amalan masyarakat Jepun serta menunjukkan keberkesanan yang tinggi.
1) Cara orang Jepun
Menurut rakyat Jepun, cara efektif untuk memanggil si bulus kesayangan anda pulang ke rumah adalah dengan meminta pertolongan kucing lain di kawasan sekitar rumah anda. Ya betul, bersembang dengan kucing liar tersebut dengan cakap begini:
“Awak, nak minta tolong sikit boleh, kucing saya nama dia Tompok hilang semalam, bantu saya cari dia okay?
“Kalau jumpa dia, suruh dia balik cepat please, saya risau ni.”
Sambil merayu, anda boleh juga membelai kucing berkenaan. Rata-rata yang mencuba teknik ini termasuk Arif mengakui ia membuahkan hasil. Kucing peliharaan mereka akan pulang ke rumah dalam beberapa hari berikutnya, seolah-olah menerima mesej yang disampaikan.
Dengan ini, ramai yang membuat rumusan bahawa sebenarnya kucing memahami percakapan manusia cuma tidak boleh bertindak balas seperti manusia sahaja.
Ada juga komen dari warganet yang mengatakan, “Saya pernah cakap dekat kucing saya, minta tolong dia bunuh cicak dekat rumah ni sebab dah banyak sangat.
“Esok pagi saya bangun, terus nampak beberapa ekor cicak dah mati kena serang dengan kucing saya tu. Sejak hari tu, saya yakin kucing boleh faham apa kita cakap,”
2) Bawa makanan kegemaran
Cara kedua yang anda boleh cuba adalah dengan bawa makanan kegemaran kucing tersebut untuk mengumpannya keluar dari tempat persembunyian. Alternatif lain, anda boleh bawa mainan kesukaan si bulus agar dapat membantu menghilangkan rasa takutnya.
3) Panggil nama si kucing dengan suara lembut
Siapa sahaja yang suka akan nada suara yang garang bukan? Begitu juga dengan kucing, mereka juga mempunyai emosi seperti manusia dan pada hari tertentu mereka boleh merajuk dan sengaja melarikan diri sebentar. Jadi anda sebagai tuan yang memahami, boleh cuba memanggil si bulus dengan suara manja untuk melembutkan semula hatinya.
4) Cari di pusat perlindungan haiwan
Jika kucing anda masih belum ditemui selepas berhari-hari, cuba cari di tempat perlindungan haiwan berhampiran rumah anda. Kemungkinan kucing anda dianggap kucing liar dan sudah ditangkap untuk dihantar ke pusat perlindungan.
5) Baca doa
Salah satu doa yang anda boleh bacakan adalah seperti di bawah. Bukan itu sahaja, ramai yang telah mencuba baca doa kehilangan ini dan kucing mereka yang hilang, pulang ke rumah.
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيْهِ اِجْمَعْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ ضَالَّتِيْ فِيْ خَيْرٍ وَعَافِيَةٍ
Allahumma ya jami‘an nasi li yaumin la lenyapa fihi, ijma’ baiia wa baina dlallati fi khairin wa ‘afiyah
Ertinya: Ya Allah, wahai Tuhan yang mengumpulkan semua manusia di hari yang tiada ragu lagi padanya. Pertemukan aku dan barangku yang hilang dengan kebaikan dan ‘afiyah.
Selain itu, ada yang yang mengamalkan bacaan sebagai berikut: “Ya Allahu ya Shaahid (Ya Allah Yang Maha Melihat)” sebanyak 100 kali.
*Semoga si bulus anda yang lari dari rumah pulang secepat yang mungkin! Rasanya pergi berjalan-jalan tak selesai lagi..