KKM sahkan Tok Mat akan dikompaun, ini jumlah yang perlu dibayar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengesahkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan terhadap Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, atas kesalahan merokok di sebuah premis makanan.
Dalam satu ciapan di akaun X peribadinya, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan menyerahkan notis kompaun kepada Ahli Parlimen Rembau itu atas pelanggaran undang-undang.
“Hari ini, pegawai diberi kuasa dari PKD Seremban akan bertemu YBM Tok Mat untuk menyerahkan notis kesalahan dan memberikan kompaun. Pejabat YBM telah pun dimaklumkan.
“Secara jujur, YBM Datuk Seri Mohamad Hassan sendiri meminta KKM mengeluarkan kompaun atas kesalahan tersebut dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa kompaun itu akan dibayar,” katanya.
Dalam sekeping foto yang tular di aplikasi X baru-baru ini, Mohamad didapati merokok di sebuah premis makanan, satu tindakan yang jelas melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Ciapan Dr Dzulkefly itu menerima pelbagai respons daripada orang ramai yang menyokong tindakan tegas tanpa mengira status atau latar belakang individu yang terlibat.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly dalam satu lagi hantaran di X menegaskan bahawa KKM berpegang kepada prinsip bahawa tiada sesiapa yang lebih tinggi daripada undang-undang.
Mengikut Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun.