Seorang lelaki berusia 70 tahun dari Bahia, Brazil mendakwa tidak pernah minum air kosong selama 50 tahun, sebaliknya hanya bergantung kepada minuman berkarbonat Coke untuk membantu penghidratan.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Roberto Pedreira masih mengamalkan tabiat pengambilan minuman berkarbonat itu walaupun menghidap diabetes dan masalah jantung.
Kisah warga emas itu menjadi tular dalam media sosial baru-baru ini kerana kegemarannya terhadap air bergas yang popular itu.
Ketika Pedreira dimasukkan ke hospital akibat Covid-19, dia menulis pada carta kesihatannya bahawa tidak meminum air atau cecair lain sebaliknya hanya mengambil `Coca-Cola Zero’.
Sekeping gambar memaparkan carta kesihatan Pedreira tersebar luas di media sosial seperti Facebook dan aplikasi X sehingga menjadi tular.
Pada mulanya, orang ramai menganggap perkara itu sebagai gurauan, namun cucu warga emas itu kemudian tampil mengesahkan bahawa seingatnya Pedreira tidak pernah minum apa-apa selain Coke.
“Saya tidak pernah ambil ubat cecair, malah saya tak minum air kosong juga, hanya minum Coke Zero,” tulis Pedreira pada carta kesihatannya.
Sementara itu, Pedreira dalam satu temubual bersama portal G1 Globo mendakwa dia `benci’ minum air kosong sehingga sudah berhenti mengamalkannya selama setengah abad lalu.
Pedreira menjelaskan sekiranya minuman berkarbonat itu memberi kesan buruk kepada kesihatannya, maka ia sudah tentu membunuhnya sekarang.
“Saya sudah tak minum air sejak 50 tahun lalu, saya tidak gemar air kosong, cuma ambil Coca-Cola Zero.
“Ramai doktor menasihati saya untuk mengambil air kosong secukupnya tetapi saya tetap menolaknya.
“Malah, saya juga mengambil ubat dengan meminum Coke dan bukannya air kosong,” katanya.