Kisah Professor Matematik peluk Islam selepas baca Al-Quran.
Bidang matematik dan sains bersifat logikal. Angka-angka dan fakta amat penting untuk mendapatkan jawapan yang tepat.
Bukan mudah bagi seseorang yang mindanya telah terlatih dengan idea-idea berasaskan fakta untuk mempercayai sesuatu agama, kerana kebanyakan agama memerlukan penerimaan berdasarkan keyakinan semata-mata.
Inilah yang dialami oleh seorang profesor matematik dari Universiti Kansas, Amerika Syarikat, Dr. Jeffrey Lang.
Dr. Jeffrey Lang dilahirkan pada 30 Januari 1954 di Bridgeport, Connecticut, Amerika Syarikat dalam sebuah keluarga yang berfahaman Roman Katolik. Sehingga usia 18 tahun, Jeffrey menerima pendidikan di sekolah-sekolah Katolik.
Namun, beliau masih tidak menemui jawapan kepada banyak persoalan berkaitan Tuhan. Seperti kebanyakan anak muda pada tahun-tahun 60-an dan awal 70-an, Jeffrey mempersoalkan semua nilai-nilai politik, sosial, dan agama pada waktu itu.
Apabila usianya meningkat 18 tahun, Jeffrey mula tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Dia menjadi seorang ateis.
Jika benar Tuhan wujud dan sifatnya pula Maha Pengasih dan Maha Penyayang, mengapa di dunia ini wujud kesengsaraan? Mengapa Dia tidak masukkan kita semua ke dalam syurga? Mengapa Dia menciptakan manusia untuk hidup merana? Inilah antara soalan-soalan yang sering bermain dalam fikirannya ketika itu.
Jeffrey tidak menemui jawapan kepada soalan-soalan tersebut sehinggalah beliau menjadi seorang pensyarah matematik di Universiti San Francisco. Di universiti itu, Jeffrey menemui agama yang selama ini dicarinya, agama yang mengajarnya bahawa kewujudan Tuhan itu adalah suatu realiti.
@hariznajmi2 Kisah Seorang Profesor Yang Tak Percaya Tuhan, Akhirnya Menangis Membaca Surah #alquran #quran #disebaliknamasurah #hijrah ♬ suara asli – Salman Alpaizar
Pada waktu itu, Jeffrey sering berbincang mengenai agama dengan beberapa orang kawannya yang beragama Islam di universiti tersebut. Apabila beliau mengemukakan soalan-soalan skeptikalnya, Jeffrey terkejut dengan jawapan-jawapan yang mereka berikan.
Kemudian, Jeffrey bertemu dengan Mahmoud Qandeel, seorang pelajar dari Arab Saudi yang segak dan fasih berbahasa Inggeris.
Hubungan Jeffrey dengan Qandeel menjadi erat, dan mereka banyak meluangkan masa bersama. Akhirnya, Qandeel menghadiahkan Lang senaskhah al-Quran dan beberapa buah buku berkaitan Islam.
Secara bersendirian, Jeffrey mula membaca al-Quran tersebut. Jeffrey tertarik dengan kandungannya dan merasakan keindahan Islam. Segala persoalannya tentang Tuhan dan kewujudan alam ini terjawab di dalam al-Quran.
Tanpa rasa ragu-ragu, suatu hari Jeffrey melangkah masuk ke dewan sembahyang di universiti tersebut yang dikendalikan oleh para pelajar. Boleh dikatakan, Jeffrey ‘menyerah diri’ kepada agama Islam tanpa banyak keraguan.
Jeffrey cukup terpesona dengan al-Quran, terutama dua surah terawal, yang digambarkannya seperti, “Seorang pelukis boleh melukis mata dalam sebuah potret yang seolah-olah mengekori anda. Tetapi pengarang mana yang boleh menulis sebuah kitab yang mendahului perubahan-perubahan dalam kehidupan seharian anda?”
“Setiap malam saya akan memikirkan pelbagai soalan serta sanggahan dan menemui jawapannya pada keesokan hari. Seolah-olah pengarang kitab itu membaca idea-idea saya, dan menulisnya dalam baris-baris yang sesuai, tepat pada waktunya apabila saya meneruskan pembacaan. Apabila saya membaca halaman demi halaman, saya akhirnya mengenali diri saya sendiri…”
Walaupun Jeffrey tidak memahami bahasa Arab, beliau tetap merasakan membaca kitab suci itu adalah satu pengalaman yang mempesonakan, seperti seorang bayi yang dibuai oleh dodoian ibunya.
Bagi Jeffrey, bacaan al-Quran memberikannya ketenangan dan kekuatan, terutama ketika beliau menghadapi kesulitan. Solat lima waktu pula memberikannya kepuasan spiritual.
Dalam kalangan komuniti Muslim di Amerika Syarikat, nama Dr. Jeffrey Lang memang dikenali. Beliau telah menulis beberapa buku mengenai Islam, termasuk “Even Angels Ask; A Journey to Islam in America”. Dalam buku ini, beliau berkongsi pengalamannya dengan para pembaca tentang pelbagai penyelesaian yang ditemui dalam Islam.