Kisah pokok pinang berwajah aneh seperti manusia pernah menjadi bualan ramai

Photo of author

By Syima Iza

Kisah pokok pinang berwajah aneh seperti manusia pernah menjadi bualan ramai.

Pada tahun 2006 di Kampung Paya, Pajak Song, Pulau Pinang pernah menjadi tumpuan orang ramai apabila sebatang pokok pinang mempunyai pelepah yang berwajah manusia. Wajah tersebut menyerupai lelaki tua yang bengis dan lengkap dengan pancaindera seperti hidung, mata, telinga, dahi dan mulut.

Menurut pemilik pokok pinang tersebut, Miah Majid, dia terkejut kerana seumur hidupnya tidak pernah melihat peristiwa seumpama itu. Jelasnya, sebelum kejadian aneh itu, pokok berkenaan tumbuh dalam keadaan normal seperti kebanyakan pokok pinang yang lain. Namun tidak lama kemudian, ia mula berubah apabila muncul seakan-akan wajah manusia pada bahagian upih.

Kisah pokok pinang berwajah aneh seperti manusia pernah menjadi bualan ramai

Ekoran kejadian itu, perkarangan rumah Miah mula dipenuhi orang ramai yang datang dari segenap pelosok daerah negeri tersebut untuk melihat sendiri pokok pinang pelik itu. Malah, ada juga di antara mereka yang sanggup datang dari Kuala Lumpur dan negeri-negeri pantai timur berkunjung semata-mata untuk melihat imej aneh tersebut.

Seorang lagi saksi yang melihat kejadian itu, Zainol Nayan berkata, dia mendakwa ternampak gambaran aneh pada pokok tersebut. Tapi tidak menyangka seludang yang pada asalnya hanya mengeluarkan rupa bentuk manusia tiba-tiba bertukar bentuk menjadi rupa seorang lelaki tua yang pelik.

Fenomena begini di mana seakan wajah manusia muncul pada struktur pokok ini bukan sahaja pernah berlaku di negara kita. Kejadian seumpama ini juga pernah dilaporkan berlaku di negara barat. Mengikut laporan akhbar Daily Times, seorang lelaki di Amerika Syarikat mendakwa pernah melihat wajah manusia pada sebatang pokok qak di kawasan perkuburan Maryville.

Lelaki tersebut bernama Ernest Ward yang bekerja di kawasan perkuburan itu terkejut apabila mendapati potongan batang pokok yang digergajinya memaparkan imej wajah manusia. Katanya, imej berkenaan kelihatan seperti lakaran muka seorang manusia yang lengkap dengan mata, hidung dan mulut.

Bagi membuktikan penemuan peliknya itu, Ward membawa kepingan kayu berkenaan ke pejabat akhbar Daily Times. Berikutan itu timbul pelbagai andaian berhubung lakaran pada kepingan pokok oak berkenaan, termasuk kemungkinan ia wajah hantu atau jelmaan roh disebabkan kedudukan pokok yang terletak di tanah perkuburan Maryville. Kehadiran Ward di pejabat akhbar itu turut mencetuskan kekecohan. Malah, ada yang mencadangkan supaya Ward menjual kepingan kayu itu di dalam laman sesawang lelong, e-bay.

Kisah pokok pinang berwajah aneh seperti manusia pernah menjadi bualan ramai

Bagi pengkaji fizik kayu dan botani, kemunculan imej pada pokok bukanlah sesuatu yang mistik. Malah, ia hanyalah fenomena biasa dalam proses pertumbuhan pada semua jenis spesies pokok.

Kejadian seumpama ini sentiasa berlaku dalam sel-sel fisiologi pokok. Secara normalnya, sel-sel ini akan bertindak balas dalam proses pertumbuhan pada bahagian pokok seperti daun, bunga, dahan dan buah. Namun, sekiranya sel-sel ini tidak bertindak balas akan menyebabkan pertumbuhan pokok menjadi tidak normal. Justeru, ia akan mengakibatkan ketidaksamaan dalam pertumbuhan pokok dan berbeza dengan spesiesnya.

Selain faktor sel-sel fisiologi tidak normal, kejadian ini juga mungkin boleh berlaku akibat kecederaan fizikal pokok. Terdapat tiga ancaman yang menyebabkan berlakunya kecederaan pada fizikal pokok iaitu serangan kulat, serangga dan manusia.

Akibat kecederaan itu, pokok akan melakukan proses membaik pulih. Proses ini dikenali sebagai proses luahan agen pertahanan untuk menghalang bakteria daripada menyerang pokok. Apabila keadaan pokok kembali normal, pelbagai kesan yang dapat dilihat pada keseluruhan struktur pokok. Antaranya, kesan yang seakan-akan wajah manusia, imej binatang dan simbol-simbol tertentu. Selain itu, kesan perubahan akibat proses ini akan mengakibatkan ketidaknormalan pada bahagian fizikal pokok seperti kesan-kesan lubang pada batang pokok, saiz buah yang luar biasa dan sebagainya.

Mengenai kes yang pernah berlaku di Pulau Pinang dan Amerika Syarikat, kemunculan imej berkenaan mungkin disebabkan faktor sel-sel fisiologi pokok yang tidak normal. Melalui pemerhatian secara kasar mendapati, fizikal kedua pokok ini tumbuh berbeza dari jenis spesiesnya.

Baca juga:
Cara simpan tepung tahan lama supaya tak rosak, berulat!
Gara-gara berkongsi momen lunas bayar zakat, Che Ta, Shahirah dikecam riak
Pasangan pengantin bersanding dalam Zoo Negara menarik perhatian warga netizen