Kisah pemuda jadi genius matematik hanya sekelip mata.
Jason Padgett asalnya hanya seorang pemuda biasa, jauh sekali bergelar pelajar cemerlang. Sejak kecil, pemuda berasal dari Tacoma, Washington, Amerika Syarikat ini bukan daripada kategori budak pintar. Walaupun pernah melanjutkan pelajaran ke kolej, dia tidak menghabiskan pengajiannya.
Padgett hanya bekerja sebagai penjual di kedai perabot. Selain bekerja, kebanyakan masanya dihabiskan dengan berpesta dan berfoya-foya. Namun, segala-galanya berubah pada malam 13 September 2002.
Padgett yang ketika itu berusia 32 tahun telah diserang dan dirompak oleh dua lelaki selepas keluar dari sebuah kelab karaoke di Tacoma. Mereka memukul dan menendang kepalanya berkali-kali, semata-mata mahu mencuri jaket kulit yang dipakainya.
Tiada apa yang mampu dilakukannya ketika itu selain memikirkan tentang mati. Sedaya upaya dia ingin melawan dan melihat wajah-wajah suspek, tapi tidak berjaya. Apa yang dilihatnya hanyalah cahaya terang seperti kilat, sebelum rebah tidak sedarkan diri.
Setelah tersedar, Padgett pergi ke hospital mendapatkan rawatan. Pemeriksaan mendapati otaknya mengalami gegaran dan buah pinggangnya bengkak akibat pukulan penyerang tersebut. Setelah diberikan ubat, Padgett pulang ke rumah.
Dua hari selepas tragedi itu, Padgett merasakan dirinya ada sesuatu yang berbeza. Dia tiba-tiba mampu melukis diagram yang mewakili rumus-rumus matematik dalam pelbagai bentuk.
Formula dalam bentuk gambar rajah ini dipanggil Fractals. Gambar Fractals buatan Padgett dilihat sangat terperinci dan rumit untuk dibuat secara manual. Walhal sebelum ini beliau langsung tidak mampu menggambarkannya sama sekali.
Padgett juga tidak lagi melihat dunia dengan cara yang sama seperti kebanyakan orang. Di mana-mana sahaja, dia melihat formula matematik yang kompleks seperti teorem pythagoras. Ibaratnya, mata lelaki ini seperti sebuah skrin yang tidak pernah berhenti memaparkan rumus-rumus dan formula matematik. Malah, setiap benda yang ada lekukan atau lingkaran, semuanya terlihat seperti diagram matematik.
Bakat luar biasa Padgett yang terserlah selepas tragedi itu telah menarik perhatian ramai ahli perubatan yang cuba mengkaji untuk mencari jawapan bagaimana otak Padgett berfungsi sehingga berubah sebegitu rupa.
Pakar nurosains dan falsafah dari pusat neurodynamics di University of Missouri-St. Louis, Profesor Berit Brogaard, antara ilmuwan yang ingin mengetahui kondisi otak Padgett.
Hasil kajian Profesor Brogaard menunjukkan kawasan otak Padgett yang mengawal matematik dan imej mental didapati menyala. Profesor Brogaard menjelaskan, kerosakan yang disebabkan oleh serangan itu telah menyebabkan beberapa bahagian otak yang lazimnya tidak dapat diakses menjadi terdedah.
Penyelidik percaya, kerosakan yang berlaku pada otak Padgett telah memberikannya hadiah yang luar biasa dalam dunia matematik. Keadaan inilah yang membuatkan beliau memiliki kecerdikan tinggi setara dengan manusia super.
Kebolehan mengagumkan ini juga menjadikan Padgett satu-satunya manusia di dunia yang diketahui mempunyai kemahiran dan kepakaran matematik hanya disebabkan oleh kecederaan kepala. Sama seperti ahli matematik yang cemerlang John Nash dalam filem Hollywood, berjudul A Beautiful Mind, lakonan Russell Crowe.
Apabila ditanya apakah bakat genius secara tiba-tiba itu sebuah hadiah atau bebanan, Padgett berkata, kadangkala dia mahu menghentikan saja bakat baru yang diperolehnya itu. Bagaimanapun dari sudut lain, ia sebenarnya memberi banyak kebaikan daripada keburukan.
Menurut Profesor Brogaard, kondisi yang dialami Padgett dikenali sebagai Sindrom Savant. Ia suatu kondisi langka di mana individu dengan gangguan perkembangan saraf, gangguan autisme terutama spektrum atau kecederaan otak, menunjukkan kapasiti yang mendalam atau kemampuan jauh melebihi dari apa yang dianggap normal.
Biasanya, untuk menjadi pintar bukan mudah. Harus rajin belajar dan selalu mendapat anugerah pelajar cemerlang di sekolah. Tetapi, Jason Padgett tidak perlu melakukan semua itu untuk menjadi genius matematik. Hanya dalam tempoh satu malam selepas dipukul oleh sekumpulan penjahat, lelaki ini berubah menjadi bijak matematik yang memiliki kecerdasan luar biasa.