Kisah Mat Komando penjenayah hati kering didakwa miliki ‘ilmu selisih’

Kisah Mat Komando penjenayah hati kering didakwa miliki ‘ilmu selisih’

Kisah Mat Komando penjenayah hati kering didakwa miliki ‘ilmu selisih’. Mat Komando: Penjenayah ‘Hati Kering’

Pernah dilabel sebagai penjenayah paling dikehendaki kira-kira 20 tahun lalu, nama Mat Komando bukan lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia.

Polis pada ketika itu mengklasifikasikan kumpulan penjenayah diketuai Mat Komando sebagai’very organized crime’, malah, pemburuan lelaki ini mengambil masa sehingga 255 hari.

Paling mengejutkan, meskipun sudah dikepung polis, Mat Komando yang dikatakan memiliki ‘ilmu selisih’ beberapa kali berjaya memboloskan diri.

Mat Komando atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad pernah menggemparkan negara apabila menjadi penjenayah paling dikehendaki, 22 tahun lalu.

Kisah Mat Komando penjenayah hati kering didakwa miliki 'ilmu selisih'

Pemburuan Mat Komando bukan hanya menarik perhatian meluas media tempatan malah turut menyorot perhatian media asing khususnya di Asia Tenggara.

Aktif merompak dan melakukan samun bersenjata sekitar tahun 2001, taktik licik kumpulan ini menyebabkan mereka berjaya melakukan lebih 50 rompakan sebelum tumpas di tangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bahkan, misi memburu ketua kumpulan mereka iaitu Mat Komando mengambil masa lebih 8 bulan atau secara spesifiknya 255 hari.

Kumpulan 13 melakukan jenayah terancang membabitkan siri rompakan bank terpencil, selain menyasarkan pemborong kelapa sawit, pengurup wang, kedai pajak gadai dan individu.

Mereka dipercayai terbabit dalam 11 rompakan di Perak, lima di Kedah dan masing-masing dua kes di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.

Dilahirkan di Yan, Kedah, Mat Komando pernah menyertai Rejimen Gerak Khas atau anggota elit komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 2 tahun.

Maka tidak hairanlah, gelaran ‘Mat Komando’ melekat sehingga ke akhir hayat bapa kepada seorang anak OKU cacat pendengaran ini.

Tidak lagi menyarung celoreng anggota pertahanan dan beret hijau, Mat Komando kemudiannya dikatakan bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun difahamkan, ia tidak bertahan lama, malah Mat Komando dikatakan kerap bertukar kerja termasuk menjadi pemandu bas dan teksi.

Dilaporkan, pembabitan Mat Komando dalam jenayah bermula ketika dia bekerja sebagai pemandu lori.

Meskipun begitu, tiada siapa dalam kalangan kenalan Mat Komando menyangka, lelaki berperwatakan lembut itu merupakan penjenayah paling dikehendaki polis.

Selepas jenayah demi jenayah dilakukan, polis terus mengatur strategi bagi menjejak dan menumpaskan kumpulan penjenayah ini.

Kumpulan berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘very organized crime’ dan tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela!

Tambahan pula, Kumpulan 13 semakin berani bertindak ‘daring’ dengan merompak bank malah lebih membimbangkan kerana mereka memiliki senjata api.

Maklumat polis mengatakan, Mat Komando sendiri memiliki dua pucuk pistol di tubuhnya

Polis Kedah pada suatu hari mendapat maklumat, sebuah resort di Tasik Pedu menerima kunjungan tetamu yang mana salah seorang daripada mereka memiliki wajah iras Mat Komando.

Polis kemudian mula mengatur gerak termasuk ‘mengambil alih’ beberapa posisi penting di resort dalam usaha memastikan operasi berjaya menumpaskan kumpulan berkenaan.

Meskipun begitu, tiba pada hari penting misi terbabit iaitu pada hari kumpulan berkenaan mendaftar keluar resort, ‘konvoi’ memburu Mat Komando tiba-tiba dikejutkan ketua penjenayah itu lesap.

Selepas itulah bermulanya operasi besar-besaran bagi memburu baki ahli kumpulan terbabit termasuk Mat Komando selepas tiga daripada ahli kumpulan ini maut ditembak.

Kod operasi dinamakan Op Api

Sawit dilancarkan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) ketika itu, Datuk Seri Salleh Mat Som.

Kisah Mat Komando penjenayah hati kering didakwa miliki 'ilmu selisih'

PDRM telah menurunkan unit-unit hebatnya termasuk pasukan elit VAT69 Komando, Pasukan Gerakan Am (PGA) termasuk Senoi Praaq dalam usaha mengesan penjenayah paling dikehendaki di hutan Pedu, Kedah dan sekitarnya.

Selama 10 hari operasi berlangsung malah mendapat liputan meluas media, polis bagaimanapun akhirnya terpaksa akur, Op Api Sawit gagal menemukan kumpulan ini.

Ketika itulah munculnya pelbagai andaian kononnya Mat Komando memiliki ‘kehebatan’ termasuk ilmu kebal dan ‘ilmu selisih’ yang membolehkannya meloloskan diri tanpa disedari polis walaupun dikepung.

Malah, turut diceritakan jejak kaki dipercayai Mat Komando hilang tidak bertapak secara tiba-tiba, termasuk kemampuan bergerak dari pokok ke pokok dan kebal dengan peluru biasa.

Beberapa bulan berlalu, polis terus giat memburu Mat Komando dan pasukannya.

Pada 5 Ogos 2002, polis sekali lagi berjaya mengesan jejak lelaki bertubuh tegap dan sasa ini melalui maklumat yang dibocorkan sendiri oleh orang kanannya.

Mat Komando sedang bersembunyi di sebuah rumah di Gemas, Negeri Sembilan.

Meskipun begitu, usaha kali ini juga gagal apabila polis hanya menemui kad pengenalan milik suspek yang ditinggalkan.

Dikenali sebagai penjenayah yang tidak melakukan keganasan ke atas mangsanya, namun pengkhianatan dilakukan Mohd Syukri Husin, 31, menyebabkan Mat Komando benar-benar marah sehinggamembelasah dan melibas parang ke tubuh orang kanannya sehingga cedera parah.

Mohd Syukri bagaimanapun terselamat dalam insiden itu dan menyerah diri kepada polis.

Op Api Sawit 2 kemudiannya dilancarkan dengan polis ketika itu sudah mempunyai banyak maklumat berkaitan Mat Komando.

Pada 2 September 2002, isteri Mat Komando, Faridah Mat Piah, 34, dan ayahnya, Md Piah Che Nam tampil membuat rayuan di akhbar meminta supaya lelaki berkenaan keluar dari tempat persembunyian dan menyerah diri.

Meskipun begitu, rayuan itu hanya sia-sia kerana Mat Komando sememangnya tidak berhajat untuk menyerah diri dan pernah meminta isterinya menyiapkan kain putih seolah-olah bersedia dengan segala yang bakal berlaku atas perbuatan jenayah yang dilakukan.

Tidak lama selepas rayuan itu, suasana hening subuh tanggal 12 September 2002 dikejutkan dengan bunyi berbalas tembakan.

Ketika itu, penduduk di Felcra Kampung Hujung Keton, Pendang, Kedah, baharu sahaja ingin memulakan hari mereka.

Operasi sekitar jam 6 pagi itu akhirnya menoktahkan misi 255 hari pemburuan penjenayah paling dikehendaki bernama Mat Komando.

Operasi yang turut disertai 10 anggota Unit Tindak Khas (UTK) ini dianggap berjaya setelah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai mengadakan sidang media tergempar mengesahkan, siri berbalas tembakan awal pagi itu diakhiri dengan kematian Mat Komando.

Dengan berakhirnya riwayat Mat Komando, maka polis berjaya menyelesaikan siasatannya terhadap Kumpulan 13 yang turut dikaitkan dengan 52 kes samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM2.5 juta, dua kes mencuri motosikal dan satu kes cubaan membunuh.

Perbuatan dilakukan Mat Komando sehingga digelar sebagai penjenayah paling dikehendaki sudah pasti tidak akan dapat dipadam daripada lipatan sejarah negara.

Jenayah tetap jenayah.

Meski begitu, sisi lain yang tidak dapat dipadam juga, Mat Komando merupakan bapa yang bertanggungjawab dan rakan yang cukup disenangi selain seorang dermawan.

Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmad Mohd Arshad.

Baca Lagi:
Ibu bersalin tekan ‘button’ kecemasan kena maki dengan jururawat
Influencer terkenal dibunuh, mayat ditemui dalam kolam berbalut kain selimut
Mak nak kahwin dengan lelaki 9 anak, kami adik beradik setuju, sekali isteri dia datang bongkar rahsia buat ramai terkejut
CATEGORIES