Kisah benar menantu jadi hamba di rumah mertua setiap kali raya

Photo of author

By Syima Iza

Kisah rumah tangga dan hidup beripar-duai penuh dengan asam garam, pahit dan manis. Ini kisah benar yang dilalui oleh sepupu kepada sahabat saya, yang mahu dikenali sebagai Aisyah. Sudah 11 tahun Aisyah berkahwin dengan Kamal dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Aisyah adalah anak yatim piatu dan mempunyai seorang abang yang berada di selatan tanah air. Sementara itu, Aisyah sudah lama menetap di ibu kota mengikuti suaminya, dan mereka tinggal senegeri tetapi berlainan daerah dengan keluarga suaminya. Pada mulanya, Aisyah amat bersyukur kerana memiliki ibu dan bapa mertua, dapatlah menumpang kasih orang tua.

Suami Aisyah mempunyai tiga orang adik perempuan, dua daripadanya sudah bersuami manakala seorang lagi masih belajar. Masing-masing tinggal berdekatan menjadikan hubungan mereka amat akrab. Mereka sering mengadakan perjumpaan keluarga untuk makan-makan dan bersantai.
Kisah benar menantu jadi hamba di rumah mertua setiap kali raya
Gambar hiasan

Setiap kali menjelang Hari Raya, semua anak menantu dan cucu-cucu wajib pulang ke rumah ibu bapa mertua. Disebabkan Aisyah sudah tiada ayah dan ibu, menjadi alasan kukuh untuk setiap tahun beraya di rumah keluarga Kamal sahaja. Peliknya, adik-adik Kamal juga setiap tahun beraya di situ.

Aisyah pernah bertanya kenapa adik-adik suaminya tidak pulang ke kampung suami masing-masing kerana mereka masih mempunyai ibu bapa, dan alasannya adalah suami mereka tidak kisah. Biasanya, pada Hari Raya kedua atau ketiga, barulah adik-adik iparnya akan balik beraya ke rumah keluarga mertua mereka.

Hari Raya Hari Paling Penat Buat Aisyah

Pada tahun-tahun awal perkahwinan, Aisyah tidak berasa apa-apa apabila setiap kali menjelang Aidilfitri dia dijadikan ‘pembantu penting’ di dapur rumah ibu mertuanya. Malah, dia berasa seronok apabila kehadirannya sangat dinantikan.

“Selalunya dua atau tiga hari sebelum Raya, ibu mertua sudah menelefon suruh kami pulang ke kampung. Pada mulanya, saya berasa bangga kerana merasakan betapa sayangnya ibu mertua kepada saya kerana kehadiran kami sangat dialu-alukan. Namun, lama-kelamaan saya mula rasa letih dan dipergunakan,” luah Aisyah yang kelihatan muram sahaja.

Tambah Aisyah lagi, “setiap tahun, kamilah yang pertama akan sampai di rumah mertua. Adik-adiknya hanya akan pulang pada malam Raya atau pagi Raya dengan alasan kerja atau suami tak dapat cuti. Sebaik tiba di rumah mak mertua, bermulalah aktiviti paling sibuk dalam kehidupan saya.”

Dari siang hingga ke malam, Aisyah tidak berhenti bekerja. Dari laman rumah ke ruang tamu, kemudian masuk bilik tidur utama, bilik kedua, ketiga dan akhir sekali ke dapur. Habis semua permaidani disapu, lantai dimop, dan bilik-bilik tetamu harus dikemas untuk adik-adik ipar dan suami tidur nanti. Itu pesanan penting ibu mertua!

Aisyah bukan sahaja menyumbangkan tenaga, tetapi juga wang ringgit. Dia bukanlah mahu berkira tetapi ada kala terasa juga apabila setiap kali Lebaran suami akan memperuntukkan sejumlah besar duit belanja untuk memenuhi keperluan Raya keluarganya. Kalau ke pasar, duit ayam, daging, pulut, santan semua pasti ditaja suami.

Belum dikira kalau ibu mertua minta Aisyah belikan enam ke tujuh jenis kuih raya dan kek untuk hiasan meja kopi. Adik-adik ipar? Adalah juga mereka beli sejenis dua tetapi tidak sewajib Kamal yang mesti beli setiap tahun.

Hari Kemuncak Paling Penat: 1 Syawal

Hari kemuncak paling memenatkan pastinya pada 1 Syawal. Tidak hilang letih semalam membantu ibu mertua di dapur merendang, merebus ketupat, mencuci pinggan mangkuk, esoknya subuh-subuh sudah diminta menghidang juadah Raya sebelum yang lelaki pergi bersolat raya. Yang paling sedih, hampir setiap tahun Aisyah tidak sempat mengikut suami ke masjid bersolat Raya kerana sibuk menguruskan rumah mertua.

Adik-adik ipar tidak kalut mahu ke masjid kerana mereka sibuk melaram, mekap, menyusun baju dan mengambil gambar kenangan. Keluar bilik, semua sudah cantik wangi melaram sedondon dengan keluarga masing-masing. Sedangkan, Aisyah masih masam dengan baju tidur semalam.

Apabila suami pulang dari masjid pasti Aisyah dibebelkan kerana lambat bersiap. Tidakkah terkilan rasa hati? “Bukannya dia mahu tanya penat kita, malah kena bebel pula dikatakan lambat dan lembap bersiap!”

Ujar Aisyah lagi, bukan tujuannya mahu mengungkit segala budi baiknya, namun dia juga manusia biasa. Macam mana ikhlas pun hati mahu berbakti, ada masa pasti rasa seperti dipergunakan. Sepanjang Hari Raya itu, kaki rasa tegang, pinggang sakit dan tangan lenguh asyik berulang ke ruang tamu dan dapur.

Ibu dan bapa mertua pula ramai adik-beradik dan pastinya rumah mereka antara yang menjadi tumpuan apabila Hari Raya. Dari pagi bawa ke petang sampai ke malam, tak putus-putus orang datang mengunjungi. Pernah Aisyah mencadangkan agar mereka ambil saja katering tetapi ibu mertua tidak bersetuju kerana katanya lebih puas masak sendiri. Entahlah, Aisyah tidak berani bercakap lebih-lebih.

Sehari selepas 1 Syawal deritanya belum berakhir. Masanya untuk berkemas pula sebelum pulang ke rumah sendiri. Adik-adik ipar? Mereka awal-awal lagi sudah membawa diri dengan alasan mahu beraya di rumah keluarga suami pula. Tidak sempat nak tolong kemas; itulah alasan mereka saban tahun.

Yang mereka sempat hanyalah ‘tapau’ makanan-makanan yang ada di rumah ibu mertua untuk dibawa ke rumah keluarga suami pula. Kadang-kadang sampai licin biskut-biskut raya yang dibeli Aisyah dikebas adik-adik iparnya. Semua yang dibeli Aisyah, semuanya sedap, puji mereka.

Raya 2021 Paling Tenang Buat Aisyah

Apabila tahun ini kerajaan mengumumkan aktiviti ziarah Aidilfitri dilarang sama sekali, Aisyahlah orang paling lega mendengarnya. Aisyah tahu ia satu perasaan yang tidak bagus tapi dia tidak dapat menolak rasa itu kerana sudah terlalu lama penat ‘diperhambakan’ oleh ibu mertua dan adik-adik iparnya.

“Ramai pelik apabila saya kata saya okey tidak dapat beraya tahun ni. Saya gembira kerana mempunyai alasan kukuh untuk tidak pulang beraya ke rumah mertua yang jaraknya tidaklah jauh atas alasan mengikut SOP. Dan, kerana suami pun jenis yang lurus dan mengikut peraturan, maka dia pun setuju untuk raya di rumah kami saja tanpa kemana-mana,” tambah Aisyah tersenyum manis.

Sambutan Raya di Rumah Mertua Tahun Ini?

Jawab Aisyah, “Entahlah. Khabarnya adik-adik pun tak balik. Maka, mak dan ayah hanya beraya dengan adik yang seorang itu sajalah. Okeylah tu, masak sikit-sikit sajalah untuk mereka bertiga. Suami pun dah berikan duit belanja awal-awal lagi, saya pun sempat belikan kuih tiga jenis untuk mereka. Kami sekeluarga juga beraya ala kadar saja tapi sangat bahagia. Inilah Aidilfitri paling bermakna buat saya.

Walaupun beraya kami empat beranak saja, tapi saya sangat tenang. Tidak penat langsung kerana hanya perlu masak ala kadar untuk makan kami saja. Tidak perlu penat melayan tetamu. Berkejar sana sini menyiapkan itu ini. Kami tetap dapat solat berjemaah bersama di pagi Raya. Alhamdulillah, inilah hikmah PKP. Lepas selesai makan dan bersalam Raya, kami duduk berbual anak-beranak depan televisyen…”

Apa pun, kata Aisyah, dia tidak menyimpan dendam terhadap keluarga mertua cuma berharap suami akan lebih memahami selepas ini. Ketika salam Raya tempoh hari, Aisyah ada berbisik kepada suaminya, berlainan sekali sambutan Raya kali ini. Aisyah rasa lebih banyak masa untuk suami dan anak-anak sendiri. Tengoklah, awal-awal pagi Aisyah dah bersiap cantik, anak-anak pun semua terurus.

“Tak tahulah dia faham ke tak, cuma dia mengangguk dan senyum kelat saja. Mungkin dia faham tapi dia sendiri tidak mahu memburukkan mak dan adik-beradiknya.”

Pagi itu juga, untuk pertama kalinya, Aisyah mendapat kiriman WhatsApp daripada ibu mertuanya yang antara teksnya berbunyi, “Assalamualaikum Aisyah. Selamat Hari Raya. Sunyi rasa rumah tahun ni Aisyah dan anak-anak tak balik. Terima kasih kerana menjadi menantu Mak yang baik. Maaf zahir batin…”

Sumber

Baca Juga:
Kes buli siber ‘influencer’ Esha, pembantu rumah jagaan orang tua didenda RM100
Musim durian tiba lagi..ini 8 tips mudah pilih durian supaya korang tak kena tipu
Ustaz Tido mengaku tiada tauliah mengajar al-Quran, hanya lepasan sekolah agama