Kisah anak jutawan Malaysia tempa kejayaan sebagai pengasas ‘Grab’ pernah bekerja 20 jam sehari

Photo of author

By Syima Iza

Kisah anak jutawan Malaysia tempa kejayaan sebagai pengasas ‘Grab’ pernah bekerja 20 jam sehari.

Anthony Tan, seorang usahawan kelahiran Malaysia yang kini dikenali sebagai CEO dan pengasas bersama Grab, berkongsi kepada CNBC News bagaimana ayahnya tidak bersetuju dengan ideanya untuk membina sebuah perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat untuk wanita.

Dilahirkan dalam salah satu keluarga terkaya di Malaysia, Anthony adalah anak kepada Tan Heng Chew, presiden Tan Chong Motor, sebuah syarikat automotif multinasional yang diasaskan oleh datuknya pada tahun 1950-an dan tersenarai di Bursa Malaysia.

Kisah anak jutawan Malaysia tempa kejayaan sebagai pengasas 'Grab' pernah bekerja 20 jam sehari

Namun, di sebalik kemewahan keluarganya, Anthony Tan memilih untuk mengambil laluan yang sukar dengan membina sesuatu yang jauh lebih besar — sebuah syarikat Grab yang kini dikenali sebagai gergasi super aplikasi di Asia Tenggara.

Pada tahun 2009, semasa belajar di Harvard Business School, beliau bertemu dengan rakan kongsi perniagaannya, Tan Hooi Ling, yang juga berasal dari Malaysia.

Mereka berdua menjadi sahabat rapat dan mula berbincang tentang masalah teksi di Malaysia yang tidak mesra wanita.

Kisah anak jutawan Malaysia tempa kejayaan sebagai pengasas 'Grab' pernah bekerja 20 jam sehari

Dengan misi untuk menyelesaikan masalah sosial, mereka merangka pelan perniagaan dan berjaya memenangi tempat kedua dalam pertandingan startup universiti. Hadiah sebanyak AS$25,000 itu dijadikan modal permulaan untuk membina syarikat yang dikenali sebagai MyTeksi pada tahun 2012.

Anthony bukan sahaja menggunakan hadiah pertandingan tersebut, tetapi juga wang simpanannya sendiri dan dana yang diterima daripada pelabur pertama syarikat — ibunya.

“Ayah saya tidak percaya dengan idea ini. Dia kata, ‘Saya tidak fikir ini akan berjaya, jadi tolong jangan ganggu saya dengan ini lagi.’

“Ia satu tempoh masa yang sukar, tetapi dorongan itulah yang membuatkan saya bertekad untuk mencipta sesuatu yang mampu menyelesaikan masalah sebenar masyarakat,” kenang Anthony.

Tahun-tahun awal Grab jauh daripada glamor, dengan dana terhad dan mereka beroperasi di sebuah bilik kecil di tengah Kuala Lumpur yang tidak mempunyai sistem pengudaraan, penghawa dingin, dan WiFi yang stabil.

Selain cabaran logistik, Anthony dan pasukannya perlu berusaha keras untuk menarik pemandu teksi agar menyertai platform mereka.

Anthony sendiri turun ke padang, melawat negara-negara seperti Vietnam dan Filipina, bangun seawal jam 4 pagi untuk berjumpa dengan pemandu teksi di stesen minyak dan menawarkan kopi percuma sambil mempromosikan Grab.

“Saya bekerja 15, 18, kadang-kadang 20 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya.

Kini, syarikat yang diasaskan oleh Anthony, Grab, berkembang pesat di lapan negara Asia Tenggara dengan lebih daripada 35 juta pengguna dan menyediakan 13 juta pekerjaan gig.

Pada tahun 2023, Grab mencatatkan pendapatan lebih AS$2 bilion selepas disenaraikan di Nasdaq pada Disember 2021.

Tidak hanya fokus pada perkhidmatan e-hailing, Grab kini menawarkan penghantaran makanan dan barangan runcit, serta perkhidmatan kewangan seperti pembayaran, pinjaman, dan perbankan digital.

SUMBER

Baca Lagi:
Lelaki kantoi sorok jongkong emas RM1 juta dalam kasut
Shila Amzah tayang mikrofon baru, harga dikatakan cecah RM40,000 macam beli kereta baru
Ramai terkejut lihat gambar terkini budak 14 tahun yang pernah dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’