Usahawan pencuci mulut, Kieda Crepe telah menunjukkan gambar suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah sehingga menyebabkan kerugian hampir RM1 juta. Suspek kini sedang ditahan reman susulan dakwaan tersebut.
Menerusi Insta Story di Instagram, Kieda Crepe, yang nama sebenarnya adalah Khalieda Yusra, memuat naik gambar-gambar suspek yang tanpa segan silu memakai barang kemas miliknya. Dalam posting tersebut, Kieda menyatakan bahawa gelang yang dipakai oleh salah seorang suspek adalah hadiah daripada suaminya sempena hari ulang tahun kelahiran.
Kieda juga mendakwa bahawa pasangan suami isteri yang menjadi suspek turut melangsungkan resepsi perkahwinan mereka sebulan selepas kejadian. Mereka juga dikatakan sempat berbulan madu ke Indonesia sebelum pihak polis menahan mereka untuk membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat.
Dalam posting yang dibuat, Kieda berasa pelik dengan ragam sesetengah manusia yang tergamak memakai barang kemas yang dicuri daripada orang lain tanpa rasa bersalah, memandangkan ia ditunjukkan kepada orang ramai.
Terdahulu, Kieda dan suaminya mendedahkan bahawa suspek kes pecah rumah mereka telah ditahan polis, mengejutkan ramai pihak kerana keempat-empat individu yang ditahan juga disyaki terlibat dalam kes pecah rumah usahawan wanita Liana Rosli atau Kak KM.
Difahamkan, hasil siasatan pihak berkuasa menunjukkan ada di antara mereka merupakan pasangan suami isteri serta adik-beradik. Setakat ini, mereka telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah Kieda Crepe yang mengakibatkan kerugian barang kemas bernilai RM800,000.
@kiedacrepepenangHidup berniaga ni akan jumpa bermacam ragam manusia termasuk lah ragam pencuri yang curi barang kita siap pakai and ambil gambar tanpa rasa bersalah. Apalah perasaan dia hah?