Khalwat berulang, tukang rumah jadi individu pertama di Terengganu disebat di khayalak ramai.
Hukuman sebatan syariah luar penjara terhadap seorang tukang rumah yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini.
Pelaksanaan hukuman sebat sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berikutan itu, pelaksanaan hukuman akan dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini selepas solat Jumaat.
Jelasnya, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu memutuskan permohonan semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
Katanya, hasil persidangan itu, mahkamah turut memutuskan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda, sebagaimana keputusan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu, juga dikekalkan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu dan maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.
Tambah Muhammad Khalil, hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir itu adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.
Katanya, pelaksanaan hukuman sebatan takzir itu juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
Pada 20 November lalu, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan ketiga yang dilakukan tertuduh.