
Ketua Polis Pulau Pinang terima enam keping ‘duit mayat’, ugutan bakar kedai dan balai polis
Ketua Polis Pulau Pinang terima enam keping ‘duit mayat’, ugutan bakar kedai dan balai polis.
Surat layang yang diterima Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, 1 Jun lalu, mengandungi enam keping replika wang kertas atau ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, surat layang berkenaan dimasukkan di dalam sampul surat dan dialamatkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang.
Katanya, ia diterima melalui perkhidmatan Pos Malaysia, pada 1 Jun lalu.
Susulan itu, beliau berkata, satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu.
“Pemeriksaan awal terhadap sampul surat berkenaan mengandungi enam keping replika wang kertas atau ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran supaya polis Kontinjen Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri itu.
“Selain itu, turut dinyatakan melalui surat layang itu, nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran itu diendahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkara ini dan operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terbabit.
“Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.
“PDRM tidak akan berkompromi serta mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini,” katanya
Terdahulu, Khaw menegaskan beliau dan seluruh pasukan PDRM dan kontinjen negeri itu tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram yang menyalahi undang-undang.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak akan tunduk kepada mana-mana ancaman atau ugutan.
Sebaliknya, tegas Khaw dilapor berkata, beliau akan terus mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang mengugut atau mengancamnya serta PDRM Kontinjen Pulau Pinang.
“Ugutan atau ancaman sebegini adalah perkara yang lumrah dan sentiasa dihadapi oleh pihak polis dalam melaksanakan tugas membanteras kegiatan dan aktiviti haram oleh mana-mana pihak atau sindiket haram.
“Sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, saya dan seluruh pasukan PDRM Kontinjen Pulau Pinang tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram yang menyalahi undang-undang,” katanya dipetik.