Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun dedah terima ancaman bunuh

Photo of author

By Syima Iza

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun dedah terima ancaman bunuh. Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mendedahkan terdapat ancaman bunuh terhadapnya dan tindakan menakut-nakutkan Badan Kehakiman dalam kes membabitkan tokoh politik.

Tengku Maimun mendedahkan, cubaan menakut-nakutkan dan memberi tekanan kepada hakim yang mendengar kes berkepentingan awam menjadi semakin ketara sekitar tahun lalu.

Malah, katanya komen-komen yang diberikan kepada kehakiman juga agak keterlaluan dan berat sebelah, selain tidak objektif dan berbaur politik.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun dedah terima ancaman bunuh

“Saya mengharapkan bahawa masyarakat di luar sana memahami struktur proses undang-undang di negara ini sebelum mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan ketidakfahaman mereka.

“Fahami dulu, jika masih tidak faham bertanyalah kepada orang-orang yang faham dan tidak membuat kenyataan keterlaluan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Tengku Maimun berkata, tindakan menakut-nakutkan dan memberi tekanan adalah penghinaan langsung kepada Kedaulatan Undang-undang dan kebebasan kehakiman.

“Adalah tidak baik bagi sesiapa yang cuba memburukkan imej mahkamah dan mencemarkannya melalui kritikan yang tidak adil, berat sebelah hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu,” katanya.

Selain itu, Tengku Maimun turut mengingatkan hakim-hakim supaya membuat keputusan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Kebebasan badan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa tekanan dalaman mahupun luaran.

“Selagi hakim masih berpegang teguh kepada prinsip itu, saya yakin bahawa kebebasan badan kehakiman akan terus diangkat,” katanya

Beliau turut mengingatkan bahawa hakim juga perlu membuat keputusan dan menulis penghakiman berdasarkan undang-undang dan bukan untuk mencari populariti.

“Kita (hakim) menulis untuk memaklumkan orang ramai mengenai fungsi kehakiman dan bukan untuk mendapatkan persetujuan daripada sesetengah pihak.

“Jika hakim memutuskan kes berdasarkan selain daripada undang-undang atau fakta, maka hakim gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan Kedaulatan Undang-undang,” katanya.

Jangan lupa follow kami! Twitter , Facebook

Baca Lagi:
Hajiji perolehi sokongan 44 Adun, Bung kata ‘Game is still on’
Mohamad Sabu lawat ladang telur di India, lihat sendiri telur ayam diproses
Sah! Tian Chua dipecat dari PKR