Digelar ‘ketam kelapa’, salah satu keunikan haiwan ini ialah kemampuannya memanjat pokok kelapa, memetik buah kelapa, mengupasnya, dan memakan isinya. Itulah keistimewaan ketam gergasi daratan ini yang menjadi sebahagian ekosistem di Pulau Sipadan, Semporna, Sabah.
Kemampuan dan kekuatan spesies ketam ini pernah diragui oleh beberapa pengkaji dunia haiwan sekitar tahun 1877. Dua tahun selepas itu, ahli biologi Jerman, Holger Rumpf memulakan kajian tentang ketam ini. Dia terperanjat apabila mendapati haiwan ini mampu memanjat pokok kelapa, memetik buahnya dengan penyepit lalu mengopek sabut untuk memakan isinya.
Oleh kerana haiwan ini suka mengambil buah kelapa, ia digelar sebagai Robber Crab, Coconut Crab, dan nama dalam bahasa Jerman dipanggil Palmendieb yang bermaksud ‘pencuri kelapa’ atau ‘ketam perompak’.
Ketam kelapa atau nama saintifiknya Birgus latro direkodkan banyak menghuni kepulauan yang menghadap lautan Pasifik. Di kawasan Asia Tenggara, ketam ini banyak ditemui di Pulau Solomon di Papua New Guinea, Pulau Christmas di lautan Hindi, dan kepulauan Sulawesi di Indonesia.
Di Malaysia, ketam spesies ini telah ditemui di tiga pulau dalam daerah perairan Semporna, Sabah. Pulau tersebut adalah Pulau Dinawan, Pulau Mataking, dan paling banyak dijumpai di Pulau Sipadan. Namun, populasinya tidaklah sebanyak seperti yang terdapat di luar negara.
Berdasarkan kajian Topografi dan Taburan Ketam Kelapa di Pulau Sipadan yang pernah dijalankan pada bulan Mei 2008 hingga Mei 2009, mendapati di Pulau Sipadan sahaja, dianggarkan tidak sampai 300 ekor pun bilangan ketam kelapa ini.
Saiz fizikalnya juga beragam. Direkodkan, berat haiwan ini boleh mencapai lima kilogram dan mampu hidup selama 30 tahun. Jika diukur, panjang tubuhnya boleh mencecah 40 sentimeter dan panjang kakinya sekitar 200 sentimeter dengan berat boleh melebihi tiga kilogram.
Seekor ketam kelapa memiliki bahagian kepala, abdomen, enam kaki, dan dua penyepit besar untuk memburu. Penyepit di sebelah kanan berfungsi sebagai pemotong dan ia lebih besar berbanding penyepit sebelah kiri yang digunakan untuk memegang.
Kekuatan kedua-dua penyepit haiwan ini dikatakan mampu mematahkan sebatang pen. Malah, ia juga dikatakan mampu mengangkat sesuatu benda hingga mencapai berat sembilan kilogram. Penyepit haiwan ini juga mampu memutuskan jari manusia.
Menurut satu cerita, masyarakat Mikronesia di kepulauan Line, Amerika Syarikat, mempunyai petua unik untuk melepaskan sepit ketam ini. Caranya dengan menggeletek bahagian lembut di bawah tubuh ketam ini dengan benda halus. Dipercayai cara itu akan menyebabkan ketam ini berasa geli lalu melepaskan sepitannya dengan serta-merta.
Ketam kelapa disifatkan sebagai haiwan yang berani. Ia tidak akan berganjak atau melarikan diri sekiranya bertemu dengan manusia. Keadaan ini agak berbeza dengan spesies ketam lain yang melarikan diri.
Sifat itu begitu tegar kerana haiwan ini tidak tinggal secara kelompok atau berkeluarga. Ia sebaliknya tinggal bersendirian dengan membina tempat perlindungan yang jauh dari pantai.
Sarang ketam gergasi ini biasanya terdapat dalam tanah atau di bawah kayu buruk. Biasanya, lubang tempat tinggal ketam gergasi ini mempunyai sabut kelapa di atasnya. Kedalaman lubang dianggarkan 0.6 meter.
Tabiat hidup ketam gergasi memang pelik kerana ketam ini akan mati lemas jika terjatuh ke air. Haiwan berinsang ini bukan saja tidak boleh bernafas di dalam air tetapi ia tidak tahu berenang. Biasanya, haiwan ini hanya ke gigi air untuk minum dan melepaskan telurnya saja.
Ketam gergasi daratan ini jarang menampakkan diri pada waktu siang. ‘Mereka’ biasanya dilihat keluar ketika hari senja sehingga malam. Semasa merayau mencari makan, si ketam jantan tidak boleh bertemu dengan ketam betina. Jika bertemu, akan berlaku pergaduhan. Bagaimanapun, pergaduhan itu akan berakhir dengan proses mengawan.
Kemudian apabila si betina bertelur, ia akan melekatkannya di bawah abdomen menggunakan tiga jejari penyepit dan memegang telur itu selama beberapa bulan. Apabila air pasang pada bulan purnama, ketam ini akan melepaskan telur itu ke gigi air.
Di lautan, telur ini terapung selama 28 hari sebelum ia menetas. Selepas itu, anak ketam ini akan mencari cangkerang siput, tempurung kelapa, atau bekas terbuang untuk melindungi abdomen mereka. Keadaan ini berlaku kerana ketam ini tidak ada cangkerang sendiri. Selepas dua tahun di air, ia akan naik ke darat buat selamanya.
Perilaku sebegitu menyebabkan saintis barat menggelarnya sebagai umang-umang daratan. Biarpun nampak sama, tapi ia bukanlah umang-umang sebenar kerana apabila saiznya membesar, ia akan tinggalkan cangkerang itu dan hidup seperti haiwan lain di daratan.
Populasi ketam ini semakin berkurangan kerana ia sentiasa diburu manusia yang menjadikannya sebagai hidangan mewah dan eksotik.