
Kereta Volvo milik warga Bangladesh ditenggelami air pasang di Pantai Klebang gara-gara terlupa tarik brek tangan
Kereta Volvo milik warga Bangladesh ditenggelami air pasang di Pantai Klebang gara-gara terlupa tarik brek tangan.
Hasrat seorang warga Bangladesh untuk berehat sambil menikmati angin pantai berakhir dengan ‘mimpi buruk’ selepas kereta Volvo miliknya ditenggelami air, angkara terlupa menarik brek tangan, dalam kejadian di Pantai Klebang, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira 5 pagi ketika lelaki berusia 38 tahun itu ke kawasan pantai berkenaan untuk berehat.
“Ketika berhenti untuk berehat di tepi pantai, lelaki itu dikatakan terlelap dan tidak sempat untuk menarik brek tangan.
“Dia bagaimanapun hanya tersedar selepas keretanya menggelongsor ke kawasan tambak lalu tersangkut ke dalam pasir dan tidak dapat bergerak.
“Tidak lama selepas itu air pantai mulai pasang sehingga menyebabkan separuh daripada keretanya ditenggelami air sebelum dia cuba mendapatkan bantuan trak tunda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pantai Klebang, Melaka.
Mcm mana la boleh masuk tu? pic.twitter.com/wMnXi49KPv
— nan manjoi8715 (@nanmanjoi8715) October 29, 2023
Christopher berkata, disebabkan tiada wang untuk membayar kos trak tunda dia meninggalkan keretanya di lokasi kejadian.
“Semakan dibuat mendapati lelaki terbabit mempunyai lesen memandu selain kereta terbabit juga tiada bersangkut dengan sebarang kes jenayah.
“Kereta itu dibawa keluar oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan akan dibawa ke pusat simpanan pihak berkuasa tempatan berkenaan bagi proses tuntutan kos urusan penundaan daripada pemiliknya,” katanya.