Kereta sewa ‘Rabak’ teruk, rupanya penyewa buat angkut kelapa sawit.
Selain menaiki pengangkutan awam, kereta sewa menjadi pilihan ramai untuk mengelak kesesakan di dalam kenderaan awam.
Malah, menaiki kereta lebih mudah untuk bergerak ke mana sahaja, apatah lagi jika tempat tersebut tidak mempunyai perkhidmatan kenderaan awam.
Namun, sebagai penyewa, kita perlulah menjaga kereta tersebut sama seperti menjaga kereta sendiri. Hal ini kerana dikhuatiri akan berlaku perkara yang tidak diingini.
Baru-baru ini, tular selepas seorang pemilik kereta sewa meluahkan rasa geram dan kecewanya terhadap seorang pelanggan yang telah merosakkan kereta sewa terbabit.
Penyewa guna kereta sewa untuk angkut buah kelapa sawit
Menerusi perkongsian di Facebook Salvisteh Sal, pengusaha kereta sewa tersebut memberitahu kereta Perodua Axia yang disewakan telah rosak akibat tidak bertanggungjawab seorang pelanggan.
Difahamkan, pelanggan tersebut telah meninggalkan kereta sewa itu dalam keadaan yang kotor sehingga banyak kesan pecah dan kerosakan di bahagian kereta.
Apa yang membuatkan dia lebih marah adalah pelanggan terbabit sudah melarikan diri tanpa membayar ganti rugi. Menurutnya, dia sudah berusaha untuk menghubungi pelanggan terbabit, tetapi dia menyekat nombor telefonnya.
Bukan itu sahaja, penyewa turut meninggalkan peralatan tajam di dalam kereta seperti parang dan sabit di bonet. Kereta itu juga dilihat terdapat banyak biji sawit yang mengukuhkan lagi bukti penyewa menggunakan kereta berkenaan untuk membawa buah kelapa sawit.
“Hati-hati kepada yang buat perkhidmatan kereta sewa..ini orang sudah sewa kereta saya tapi sekali sawit dia kasih tumpang cukup percaya sudah saya sama kamu. Tapi kamu buat taik kereta yang saya kasih sewa sama kamu banyak betul kerosakan kereta saya tayar kena ganti dari baru jadi tayar botak, kesan langgar, bumper pecah, dalaman kotor dan warning enjin menyala.
“Tujuan saya post ini supaya penyewa tersebut mengganti rugi segala kerosakan kereta saya dan kepada kawan-kawan yang buat kereta sewa-sewa kereta tidak terkena sama seperti apa yang berlaku kepada saya kenapa saya post di sini sebab orang itu ada dalam group ini. Orang itu tidak bagi kerjasama sama saya post ini akan saya padam jika orang itu ganti rugi kerosakan kereta saya,” katanya
Tambahnya, laporan polis sudah dibuat dan menunggu masa agar penyewa mengganti rugi segala kerosakan pada kereta.