Keranda dihanyutkan banjir tersadai bawah pokok, penduduk enggan alih kerana takut.
Sebuah keranda kosong dihanyutkan banjir di Chiang Mai sekali gus mencetuskan rasa takut dalam kalangan penduduk yang enggan mengalihkannya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Keranda tersebut ditemui di bawah pokok tepi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kolej Montfort di Tha Sala.
Ia mula dilihat oleh seorang penduduk setempat sebelum dimuat naik di laman Facebook.
Hantaran memaparkan gambar keranda berwarna coklat itu menjadi tular dengan ramai yang enggan mengalihkan objek tersebut kerana berasa takut.
Datuk Bandar Chiang Mai, Asanee Buranupakorn kemudian menyiarkan kemas kini yang mengesahkan bahawa ia adalah keranda kosong dan tidak digunakan.
Kakitangan perbandaran turut dihantar ke tempat kejadian untuk memeriksa keranda tersebut sebelum membawanya ke tanah perkuburan Nong Pratheep untuk disimpan.
Pegawai kemudian mengeluarkan notis awam yang meminta sama ada pemilik persendirian atau kedai keranda, tampil dan mengambil objek itu, lapor akhbar KhaoSod.