Kenapa pilih S Logeswaran? Ini penjelasan FAM.
Pemilihan S Logeswaran dari Selangor untuk mengendalikan aksi final Piala Malaysia 2023 sudah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, ini mengambil kira faktor beliau sudah menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang Liga Malaysia (Liga M) 2023 mengikut laporan penilai pengadil selain beliau adalah pengadil berkecuali.
“Logeswaran juga adalah antara pengadil senior dalam saingan Liga M dengan beliau adalah pengadil kebangsaan Kategori A,” katanya.
FAM tidak dapat melantik dalam kalangan pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengendalikan aksi final Piala Malaysia disebabkan beberapa faktor dan kekangan.
Datuk Noor Azman menjelaskan, ia kerana ada beberapa pengadil yang memiliki ‘hubungan’ dengan dua finalis iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) selain terbabit dengan tugasan di luar negara.
“Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria adalah pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.
“Baki dua lagi pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terbabit dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil,” kata Noor Azman dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pemilihan Logeswaran bagi aksi final Piala Malaysia menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong selepas pengadil itu dikatakan bukan dalam kalangan pengadil FIFA.
Berdasarkan semakan mengikut senarai pengadil antarabangsa FIFA 2023 di laman sesawang digitalhub.fifa.com, namanya tidak berada dalam senarai itu.
Senarai itu hanya meletakkan enam pengadil FIFA dari Malaysia iaitu Razlan, Usaid, Nazmi, Suhaizi Shukri, Tuan Yaasin dan Mohd Amirul Izwan Yaacob.