Kenaikkan 3 kali ganda harga sayur dijangka pada bulan November, Disember depan.
Harga sayur-sayuran dijangka meningkat tiga kali ganda pada November dan Disember akan datang susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang berpotensi menyebabkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan di seluruh negara.
Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, berkata kebanyakan harga sayur di peringkat ladang telah naik antara 20 hingga 50 peratus dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.
Beliau menyatakan harga tomato meningkat daripada RM1.50 sekilogram kepada RM2.30 sekilogram.
“Antara sayuran lain yang mengalami peningkatan harga termasuk daun bawang, kailan, sawi, supak choi, timun, terung, dan kacang buncis. Harga sayuran daun dijangka akan terus naik dan menjadi lebih mahal pada November dan Disember,” katanya kepada BH hari ini.
Mengulas lanjut, Syed berkata keadaan cuaca semasa menyebabkan penyakit kulat merebak dengan cepat, sekali gus menjejaskan pengeluaran hasil sayuran.
Beliau turut menambah bahawa sayuran berdaun yang ditanam tanpa rumah plastik (SPH) turut mengalami kerosakan, terutama akibat hujan lebat.
“Oleh itu, penggunaan racun perosak adalah antara langkah persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh.
“Selalunya (pada musim hujan), petani akan menggunakan racun perosak untuk mengelakkan kerosakan pada sayuran,” tambahnya.