“Kena rasuk player 456”- Lelaki lakon balik babak ‘Squid Game 2’ di stesen Ampang Park raih 9.7 juta views.
Drama siri popular Korea Selatan, Squid Game, kembali mencuri perhatian ramai sejak musim kedua mula bersiaran di Netflix pada 26 Disember 2024.
Siri ini bukan sahaja diminati di peringkat antarabangsa, malah rakyat Malaysia juga turut mengikuti perkembangannya. Promosi bagi drama tersebut turut dilaksanakan dengan meriah, termasuk pameran menarik di stesen MRT.
Netflix bekerjasama dengan MRT Corp untuk mengubah suasana sekitar MRT Ampang Park menjadi dunia Squid Game, lengkap dengan sebuah patung kanak-kanak perempuan bersaiz gergasi yang ikonik dalam siri tersebut.
Tular Aksi Lelaki Lakon Babak Squid Game 2
Baru-baru ini, satu video di TikTok (@laveyyeager) menjadi tular memaparkan seorang lelaki yang bermain permainan ‘Red Light, Green Light’ di hadapan patung gergasi Squid Game di MRT Ampang Park.
Permainan ini dimainkan dengan peserta berdiri di belakang garisan permulaan. Apabila “Green Light” disebut, peserta perlu bergerak ke arah garisan penamat, manakala apabila “Red Light” disebut, mereka harus berhenti segera. Jika peserta masih bergerak, mereka dianggap kalah.
@laveyyeager HE IS NOT HIM!!!😭😭 #ampangpark #squidgame #greenlightredlight #player456 ♬ original sound – that camera guy
Namun, yang mencuri perhatian ramai adalah gaya lelaki itu melakonkan babak daripada Squid Game 2, meniru watak Seong Gi-hun (pemain 456) yang dilakonkan oleh Lee Jung Jae.
Dalam klip tersebut, lelaki itu kedengaran menjerit “Porow!” berulang kali, yang sebenarnya dimaksudkan sebagai “Oreum” (bermakna jangan bergerak). Dia juga menyebut dialog terkenal Gi-hun, “I have played this game before!” semasa bermain permainan itu.
Gaya Persis Watak Gi-hun
Apa yang lebih menarik, gaya lelaki itu ketika bermain juga menyerupai watak Gi-hun, seperti menyembunyikan gerakan mulut menggunakan lengannya.
Walaupun hujan dan berada di tempat awam, lelaki tersebut dilihat begitu seronok bermain sendirian sambil menggunakan imaginasinya.
Setakat artikel ini ditulis (9 Januari), video tersebut telah mendapat 9.7 juta tontonan.
Reaksi Netizen Terhadap Aksi Lelaki Itu
Di ruangan komen, rata-rata netizen terhibur melihat gelagat lelaki tersebut yang begitu terikut dengan watak Squid Game.
“Betul-betul kena rasuk dengan player 456 😭,” tulis seorang pengguna TikTok.
Ramai juga memuji keyakinannya bermain seorang diri di tempat awam tanpa rasa segan.
“Anxiety, rasa malu, segan semua takut dengan lelaki ni,” ujar seorang wanita.
Ada juga yang menyatakan keinginan untuk menyertai lelaki tersebut bermain bersama.
“Kalau aku ada dekat situ, dah lama aku join sekali dia main 🤣,” komen seorang warganet.