Kelucahan melampau: ‘Ustaz Budak’ akhirnya ke penjara

Photo of author

By Syima Iza

Kelucahan melampau: ‘Ustaz Budak’ akhirnya ke penjara.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara selama 13 bulan terhadap seorang mudir madrasah atas tuduhan melakukan kelucahan melampau dan mencabul lelaki di sebuah hotel, Disember 2020.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Syamsul Zaman Sukri, 35, yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret pada 9 Mac lalu.

Kelucahan melampau: 'Ustaz Budak' akhirnya ke penjara

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakimannya berkata, ada tujuh isu yang dibangkitkan oleh Syamsul Zaman yang turut dikenali Ustaz Budak dan ketujuh-tujuhnya ditolak.

“Ini termasuk perayu yang mendakwa keterangan mangsa tidak boleh dipercayai. Perayu tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan

“Pihak perayu gagal membuktikan mens rea (niat jahat) tetapi Hakim Mahkamah Tinggi berdasarkan alasan penghakiman Mahkamah Majistret dan nota keterangan menunjukkan bahawa adanya tindakan dan niat perayu kepada mangsa.

“Mahkamah Tinggi berpendapat hukuman daripada Mahkamah Majistret adalah tepat dan memadai. Justeru, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara selama 13 bulan kepada perayu yang bermula hari ini,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Syamsul Zaman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap lelaki berusia 30 tahun di bilik hotel di Kota Bharu pada 1.15 pagi, 16 Disember 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Baca Lagi:
Makcik Kemboja sedih, tuju video kepada TMJ mohon maaf
8 tips elak disambar petir boleh membawa maut, antaranya jangan gunakan telefon berkabel!
Kecoh! Pengadil dikejar pemain, pegawai PBT di kejohanan 9 sebelah