Keluarga Malaysia ini buka gerai jual nasi kerabu di kota London raih lebih RM2 juta setahun.
Walaupun kadangkala terlibat dalam perselisihan faham, rakyat Malaysia tetap akan bersatu teguh apabila mempertahankan makanan tradisional mereka, terutamanya di luar negara.
Bila ada mat saleh yang memuji betapa sedapnya Nasi Lemak, Nasi Kandar, atau Roti Canai, pasti timbul rasa bangga sekejap.
Bagi korang yang berada di London, United Kingdom dan tiba-tiba mengidam Nasi Kerabu, kini tak perlu lagi bersusah payah ke Malaysia kerana hidangan ini juga dijual oleh sebuah keluarga dari Malaysia yang menetap di sana.
Keluarga Malaysia Ini Buka Gerai Jual Nasi Kerabu Di London
Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok (@christhechindian), dua orang pemuda ini berkongsi kisah tentang sebuah keluarga yang menjual menu Nasi Kerabu di Victoria Park, London.
Gerai mereka yang diberi nama ‘Eat Lah’ itu beroperasi dengan membuka tapak khemah berwarna biru di sebuah taman yang sering dikunjungi orang ramai.
Ketika ditanya oleh pemilik video tentang hasil jualan, peniaga tersebut mendedahkan mereka berjaya meraih sekitar RM2,243,021 (£400,000) dalam tempoh setahun.
Kalau korang nak tahu, peniaga berbangsa Cina ini sebenarnya dilahirkan di Britain dan berkahwin dengan rakyat Malaysia yang berasal dari Kelantan.
Sebelum membuka perniagaan itu pada tahun 2019 sehingga ke hari ini, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa dia merupakan seorang arkitek selama 10 tahun.
“Saya rasa saya dah hilang minat dalam bidang arkitek. Sebab tu saya mula buka bisnes jual Nasi Kerabu memandangkan saya pun dibesarkan dalam persekitaran yang dikelilingi dengan makanan,” ujarnya.
Jelas peniaga ini lagi, mereka mengambil beberapa tempoh untuk mengembangkan perniagaan kerana tidak ramai yang tahu tentang Nasi Kerabu di London.
“Sejujurnya, memang ambil masa juga untuk orang tahu tentang apa yang kami jual kerana bukan semua orang tahu tentang nasi berwarna biru ini,” katanya.
Penduduk Tempatan Di London Tertanya Macam Mana Peniaga Ini Buat ‘Nasi Biru’
Dua orang rakyat Malaysia yang menemu ramah peniaga itu juga diberi peluang untuk ‘bekerja’ sekejap di gerai tersebut dan sempat berbual dengan seorang penduduk tempatan di sana.
Ketika ditanya hidangan yang mahu dibeli, individu berkenaan berkata dia mahu membeli keropok kerana rasanya yang sedap.
Selain itu, dia juga tertanya-tanya bagaimana peniaga terbabit boleh memasak nasi berwarna biru.
Namun jawapan daripada pengguna TikTok ini agak menghiburkan. “Rahsia,” katanya!
@christhechindian “Should’ve started earlier” 📍: London 💼: Streetfood Chef @eatlahuk @John Ow #GajiHowMuch #SuduOnTheStreet #WorkTour #StreetInterview #FYP #Foryoupage #tiktokmalaysia #london ♬ original sound – Chris MJ
Ramai Bangga Nasi Kerabu Dikenali Di Luar Negara
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen yang berbangga apabila hidangan popular dari Kelantan itu dipromosikan dalam video berkenaan.
Malah, mereka turut mendoakan agar perniagaan Nasi Kerabu itu semakin berkembang maju di London.
Seorang netizen pula berkata, dia sudah boleh teka bahawa pasti salah seorang daripada ahli keluarga peniaga ini mempunyai latar belakang di sekitar Pantai Timur kerana memiliki kemahiran memasak hidangan tersebut.
“Waktu awal-awal nampak video ni, dah terfikir dah mesti dia ni dari Kelantan atau Pattani. Rupanya betul sebab isteri dia orang Kelantan,” ujar netizen.