Kejam! Kucing diikat dalam guni, dibuang dalam tong sampah berjaya diselamatkan.
Tindakan individu tidak bertanggungjawab membuang seekor kucing dalam guni yang diikat sebelum dibuang ke dalam tong sampah disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Guni mengandungi kucing itu nyaris dibuang ke tempat pelupusan sampah namun sempat diselamatkan.
Berdasarkan video yang ditular di laman sosial Facebook berdurasi satu minit 29 saat itu menunjukkan dua pekerja kontraktor syarikat pembersihan berjaya menyelamatkan kucing berkenaan selepas terdengar bunyi suara kucing dalam timbunan sampah dalam lori berkenaan.
Menurut pekerja terbabit, Aziz Dahlan, 48, berkata, kejadian itu berlaku di Pekan Kuala Nerang pada jam 9 pagi semalam ketika dia bersama beberapa rakannya sedang melakukan tugas mengangkut sampah ke dalam lori syarikat terbabit.
Katanya, ketika itu dia terdengar suara kucing dan menyangka ia di bahagian bawah lori.
“Saya cuba mencari bunyi berkenaan sebelum menyedari ia datang dari dalam guni yang diikat dengan tali.
— @ (@anthraxxx781) February 9, 2024
“Saya terus mengambil guni berkenaan dan membukanya sebelum menyedari seekor kucing di dalamnya dan terus melepaskannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Aziz yang sudah setahun bekerja di syarikat pembersihan berkenaan tidak menyangka video itu tular di media sosial.
Video berkenaan mendapat kecaman warganet yang menyifatkan perbuatan individu yang membuang kucing berkenaan sangat kejam kerana haiwan itu juga bernyawa.