Kehilangan wartawan Pakistan makin misteri, ada pihak tidak menceritakan keadaan sebenar – Peguam

Kehilangan wartawan Pakistan makin misteri, ada pihak tidak menceritakan keadaan sebenar – Peguam

Kehilangan wartawan Pakistan makin misteri, ada pihak tidak menceritakan keadaan sebenar – Peguam. Misteri kehilangan wartawan Pakistan, Syed Fawad Ali Shah semakin mendalam apabila peguam yang mewakili isterinya mendakwa lelaki itu telah ditahan dan mungkin diusir, walaupun perkara itu dinafikan sumber kementerian dalam negeri.

Peguam P Waytha Moorthy mendakwa Fawad ditahan pihak berkuasa Malaysia atas permintaan kerajaan Pakistan, walaupun beliau mempunyai semua dokumen yang relevan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kehilangan wartawan Pakistan makin misteri, ada pihak tidak menceritakan keadaan sebenar - Peguam

Katanya, perkara itu dimaklumkan seorang pegawai imigresen yang bersimpati dengan isteri Fawad, Syeda.

Bagaimanapun, tambahnya, tiada rekod rasmi mengenai penahanan itu dalam sistem data imigresen.

Dalam kenyataan, Waytha berkata persoalan kini timbul sama ada pihak berkuasa Malaysia telah bersubahat dengan rakan sejawat di Pakistan “untuk secara rahsia menghantar lelaki ini menaiki penerbangan pulang ke Pakistan tanpa pengetahuan sesiapa”.
Bekas menteri itu berkata “ada pihak yang tidak menceritakan keadaan sebenar” dan menggesa ketua pengarah imigresen supaya menjawab perkara itu.
“Isterinya bimbang dan amat tertekan kerana tidak mengetahui nasib suaminya,” katanya.

Sementara itu, sumber kementerian luar yang enggan didedahkan identiti memberitahu FMT bahawa Fawad tidak ditahan atau diusir pulang.

“Berita itu tidak tepat kerana beliau masih di Malaysia,” katanya merujuk kepada laporan FMT.

Sumber jabatan imigresen pula memberitahu FMT: “Saya tiada kelulusan untuk membincangkan isu ini, tetapi anda mungkin boleh mendapatkan butiran lanjut daripada seseorang yang berpangkat lebih tinggi.”

Fawad, 41, pemegang kad suaka UNHCR, memohon perlindungan sebagai pelarian daripada agensi itu kerana mendakwa ditindas di Pakistan akibat beberapa artikel diterbitkan dalam akhbar-akhbar berbahasa Inggeris di negara itu, berkaitan dengan rasuah kerajaan.

Beliau hilang sejak Ogos, dan isterinya Syeda berada di Kuala Lumpur untuk mencarinya. Laporan polis juga telah dibuat mengenai kehilangannya.

Fawad datang ke Malaysia pada 2011 menerusi Thailand dan diberi status pelarian oleh UNHCR, selepas tiga tahun berdepan masalah disebabkan siasatannya terhadap kes orang hilang di negara asalnya.

Pada 2010, Fawad ditahan 18 hari dan disoal siasat beberapa individu dikatakan pegawai risikan Pakistan. Beliau kemudian dibebaskan namun diberi amaran supaya berhenti menulis mengenai orang hilang dan bersara daripada bidang kewartawanan.

Baca Lagi:
Selebriti pandu melulu, kekasih tercampak keluar dari kereta
Selepas ditegur Menteri, Malindo Air beri baucar percuma kepada penumpang
Selepas tular roti canai janda, kini roti canai ‘Anak dara’ pula memikat selera
CATEGORIES